Stesen Operasi Rembau mula operasi Jumaat ini

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memberi lampu hijau untuk stesen komuter Rembau memulakan operasinya hari ini (Jumaat) di mana tiga perkhidmatan dari Rawang-Rembau-Rawang disediakan pada sebelah pagi dan tiga pada waktu petang.
Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kelulusan itu diberikan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) setelah pihaknya berpuashati dengan kerja-kerja pembinaan rel dan stesen berkenaan.

Syed Hamid berkata dia yakin pembukaan stesen komuter Rembau dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan dan yang berdekatan dengannya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di stesen komuter Pulau  Sebang (Tampin) setelah meninjau Stesen Rembau sebelum itu pada Khamis.

Turut menyertai Syed Hamid ialah pegawai-pegawai kanan pengurusan SPAD, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan media massa yang menaiki komuter dari KL Sentral. Turut hadir semasa sesi lawatan itu ialah Presiden KTM Berhad, Datuk Elias Kadir.
Perkhidmatan komuter ke Rembau adalah sambungan dari stesen komuter Sungai Gadut, yang merupakan stesen terakhir sebelum ini.

Menurut Syed Hamid, lesen yang diluluskan oleh SPAD asalnya adalah Lesen Tren Antara Bandar, iaitu lesen bagi perkhidmatan menggunakan tren elektrik. Bagaimanapun buat masa ini lesen itu dibenar digunakan untuk tren komuter memandangkan perkhidmatan tren antara bandar ke Gemas belum siap.

“Walaupun kita memulakan perkhidmatan tren komuter terlebih dahulu, kita berharap perkhidmatan tren antara bandar juga dapat disiapkan segera. Ini kerana ada orang suka bergerak menggunakan tren komuter dan ada juga suka menggunakan tren antara bandar.

“Kita juga tidak mahu perkhidmatan tren komuter dilihat sebagai saingan kepada perkhidmatan tren antara bandar, begitu juga keretapi laju apabila ia siap nanti. Kita mahukan ketiga-tiga perkhidmatan ini saling melengkapi,” katanya.

Syed Hamid berkata dia berharap perkhidmatan tren antara bandar yang akan menghubungkan Rembau ke Gemas dan seterusnya JB Sentral dapat disiapkan sebelum Rel Keretapi Laju (HSR) KL-Singapura.

“Sebelum ini kita telah terima pertanyaan daripada Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin). Dia tanya bila kita nak mulakan keretapi ke Rembau. Sekarang dia boleh datang dan lihat sendiri.

“SPAD telah selesaikan kerja dan berpuashati. Maka sekarang terserah kepada KTMB untuk menjalankan peranannya dan memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Hamid berkata SPAD mengalu-alukan langkah KTMB menyediakan perkhidmatan tren komuter 24 jam pada 30 Ogos sempena sambutan Ambang Merdeka.

Menurut Datuk Elias, KTMB akan meneruskan perkhidmatan tren komuter dari 12.30 malam pada 30 Ogos sehingga 4.30 pagi 31 Ogos. Ini bermakna sebanyak 26 perkhidmatan komuter tambahan bagi empat sektor laluan untuk keselesaan orang ramai pulang selepas menyambut Hari Kemerdekaan.

Katanya perkhidmatan tambahan disediakan dengan kekerapan setiap 30 minit di antara jam 12.30 malam 30 Ogos hingga 2.30 pagi 31 Ogos dan kekerapan setiap 60 minit di antara jam 2.30 pagi sehingga 4.30 pagi.

Perkhidmatan tambahan ini meliputi Batu Caves-Pelabuhan Klang, Pelabuhan Klang-Batu Caves, Rawang-Sungai Gadut, dan Sungai Gadut-Rawang.

Bagi pengguna yang ingin mengunjungi Dataran Merdeka untuk menyaksikan perarakan kemerdekaan pada 31 Ogos, perkhidmatan KTM Komuter bagi semua laluan akan beroperasi seperti biasa bermula 5.30 pagi. – 30/8/13.







Comments

  1. Menunggu laluan ke Gemas beroerasi.
    warga Gemas sentiasa sabar menunggu bagi membolehkan kami ke mana-mana bandar seterusnya ke Padang Besar lebih mudah

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap