SPAD luluskan 437 lesen perubahan sempena musim Raya

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah meluluskan 437 Lesen Perubahan Sementara (LPS) kepada pengendali-pengendali bas ekspres tambahan sempena perayaan Hari Raya Adilfitri.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan demikian selepas membuat lawatan ke Pudu Sentral, Jumaat. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Kamal dan Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan, Maj Jen (B) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad.

Senarai pengendali bas ekspres itu merangkumi wilayah tengah selatan dan timur. Pengguna yang mahu menyemak senarai syarikat bas yang diberi kelulusan LPS itu boleh berbuat demikian menerusi laman web SPAD http://www.spad.gov.my/

Syed Hamid berkata, SPAD yakin kelulusan kepada 437 syarikat pengendali bas itu yang membabitkan tambahan hampir 700 bas dapat mengatasi masalah kekurangan bas pada musim perayaan. 

Dalam pada itu Syed Hamid turut menasihatkan orangramai yang ingin pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri supaya menaiki bas yang berlesen kerana mereka dilindungi insurans.

Menurut Syed Hamid, bagi membanteras kegiatan ulat tiket, unit penguatkuasaan SPAD telah melipatkan gandakan operasi mereka. Katanya Operasi Aidilfitri telah bermula 1 Ogos akan diteruskan sehingga 18 Ogos 24 jam sehari.

“Sepanjang tempoh itu SPAD akan mengadakan operasi bersepadu bersama Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).”

Syed Hamid berkata selain memantau kegiatan ulat tiket, SPAD juga akan memeriksa keadaan fizikal bas bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan selamat dipandu, seperti lampur, viper, tayar serta pemandunya.

Katanya selain unit penguatkuasaan yang bekerja 24 jam sehari, talian hotline SPAD juga beroperasi sepanjang musim perayaan.Pengguna yang mahu membuat aduan boleh menelefon 1-800-88-7723 atau menghantar emel ke aduan@spad.gov.my atau twitter @aduanSPAD.

Syed Hamid berkata operasi-operasi bersepadu yang dijalankan antara SPAD dan agensi-agensi lain mungkin akan mengganggu perjalanan dan sehubungan itu memohon orangramai supaya memahami.

“Saya minta maaf kepada orangramai kalau mereka rasa terganggu. Kami buat ini untuk memastikan mereka selamat dan menaiki bas yang baik. Aktiviti operasi seperti ini bukan dibuat bermusim tetapi juga dari semasa ke semasa cuma ia dipertingkatkan menjelang hari perayaan. Saya harap orangramai tidak salah tafsir tindakan SPAD menggandakan operasi,” katanya.

Syed Hamid berkata SPAD tidak akan berkompromi dengan pengendali bas ekspres yang menggunakan ulat sebagai ejen mereka. Ini kerana dalam operasi yang dilakukan, SPAD mendapati ramai di kalangan ulat tiket itu bekerja untuk ejen kaunter.

“Sasaran kita bukanlah untuk menangkap ulat tapi untuk menentukan pengangkutan awam darat lebih efisien, teratur, lancar dan selamat,” katanya.

Pada sidang media itu Syed Hamid turut mengumumkan bahawa Prasarana sedang membuat kajian untuk membuat jajaran ketiga LRT yang menghubungkan Kelana Jaya ke Pelabuhan Kelang sejauh 35 kilometer. Katanya kajian itu dijangka siap sebelum akhir November tahun ini. – 3/8/13.
 







 

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap