SPAD berkas 24 ulat tiket, 10 positif ujian dadah

Seramai 24 ulat tiket berjaya dicekup dalam satu operasi bersepadu yang dilakukan oleh unit penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Jumaat.

Daripada jumlah itu 10 daripada mereka didapati posifit dadah, seorang adalah pendatang tanpa izin dan seorang lagi memiliki dadah.
 
Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan, Maj Jen (B) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata, Operasi khas sempena perayaan Aidilfitri itu dilakukan di dalam dan sekitar kawasan Pudu Sentral.

“Operasi ini dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu pada jam 10 pagi hingga12 tengahari dan 8.30 hingga 10.30 malam. Mereka yang positif dadah melalui ujian air kencing telah diserahkan kepada AADK sementara  ulat tiket yang memiliki dadah itu telah diserahkan kepada polis dan bakal didakwa di bawah Akta Dadah Merbahaya.

Che Hasni berkata, ulat—ulat tiket itu akan didakwa di bawah seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50ribu atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya operasi pagi dibuat secara bersepadu dengan AADK, JPJ dan JPN manakala operasi malam hanya membabitkan SPAD dengan AADK. Seramai 85 pegawai penguatkuasa terbabit dalam operasi berkenaan.

Che Hasni berkata ulat tiket yang didapati positif heroin dan memiliki dadah itu adalah seorang wanita. Katanya, wanita itu juga mengakui dia pesakit HIV.
 
Menurutnya dalam operasi berkenaan, pegawai-pegawai penguatkuasa telah menyamar sebagai orang awam. Katanya ulat-ulat berkenaan bertindak sebagai “pengiring” penumpang ke ejen kaunter. Sehubungan itu pihaknya akan mengkaji bagaimana tindakan juga boleh diambil ke atas ejen kaunter dan pengusaha bas berkenaan.

Menurut Che Hasni kegiatan ulat tiket berlaku di Pudu Sentral tetapi tidak di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Ini kerana TBS telah menggunakan sistem e-ticketing.

“Menerusi sistem e-ticketing, penumpang harus mendapatkan tiket di kaunter. Menerusi e-ticketing mereka tak boleh tipu harga. Kalau tak ada e-ticketing, ulat-ulat ini boleh letak harga sendiri. E-ticketing adalah salah satu cara terbaik menyelesaikan masalah ulat tiket. Di samping itu kaunter tidak harus dibenarkan melantik ulat tiket untuk menjadi ejen dan memaksa penumpang pergi ke kaunter mereka,” katanya. – 3/8/13.
 











 

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap