Tindakan Tegas Jika Gagal Tukar Bas Sekolah Berusia Lebih 30 Tahun - SPAD

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Mulai Januari 2015, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pengusaha bas sekolah jika gagal menukar kenderaan mereka yang telah berusia 30 tahun dan ke atas kepada yang baharu, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata tempoh dua tahun yang diberi kepada semua pengusaha bas sekolah terbabit untuk menukar kenderaan mereka akan berakhir hujung tahun depan dan SPAD tidak akan melanjutkan semula tempoh berkenaan.

"Jika mereka (pengusaha bas) ingkar untuk ikut peraturan yang kita tetapkan, SPAD akan dakwa mereka di mahkamah, tarik balik lesen supaya mereka tidak boleh lagi beroperasi secara sah.

"Undang-undang membenarkan SPAD membuat peraturan serta prosedur dan kami boleh ambil tindakan jika ia gagal dipatuhi kerana soal keselamatan penumpang terutama kanak-kanak amat penting," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Terdahulu Syed Hamid menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara DMS Dynamic Sdn Bhd dan Chery Automobile (M) Sdn Bhd untuk Projek Bas Sekolah 1Malaysia.

Syed Hamid berkata sehingga kini terdapat 17,000 buah bas sekolah di seluruh negara berdaftar dengan SPAD dan daripada jumlah itu 2,000 buah bas sekolah sudah melebihi jangka hayat 30 tahun.

Katanya bagi meringankan beban para pengusaha, kerajaan menyediakan pembiayaan pinjaman sehingga RM250,000 untuk tempoh sembilan tahun bagi membantu mereka menukar bas baharu.

Katanya permohonan untuk mendapatkan pembiayaan itu boleh dibuat menerusi Bank Simpanan Nasional mulai April lepas dan sehingga kini 130 permohonan telah diterima.

Mengenai saranan pengambilan warga asing sebagai pemandu bas, Syed Hamid berkata cadangan itu tidak wajar kerana boleh menimbulkan masalah sosial di negara ini.

"Saya bimbang sebab segalanya dibuat oleh warga asing. Rakyat Malaysia yang sepatutnya diambil bekerja," katanya.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap