Awas! Orang menyamar jadi pegawai SPAD!

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menasihatkan pemandu teksi dan orang ramai supaya berhati-hati kerana sejak sebulan lalu berlaku kes pasangan lelaki dan wanita menyamar sebagai pegawai pengkuatkuasa.
 
Pengurus Besar Unit Penguatkuasaan SPAD, Mejar (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata pihaknya telah membuat laporan polis terhadap kejadian itu setelah menerima aduan dan maklumat daripada pemandu-pemandu teksi.

Katanya pasangan itu telah menyamar sebagai pegawai pengkuatkuasa SPAD untuk memeras ugut pemandu teksi.

“Saya mahu memaklumkan kita sudah ada empat kes penyamaran sebagai pegawai SPAD oleh satu pasangan lelaki dan wanita. Sehubungan itu saya mahu pemandu teksi dan rakyat supaya berhati-hati.

“Pegawai SPAD apabila bertugas akan menunjukkan kad kuasanya. Maka pemandu perlu tengok betul-betul kad kuasa itu. Ia mesti mempunyai nama, gambar dan nombor siri pegawai. Kalau boleh, sila catatkan nombor siri itu. Kadang-kadang penyamar ini hanya tunjuk sekali imbas kad kosong. Jadi, pemandu teksi harus berhati-hati,” katanya.

Che Hasni berkata demikian kepada pemberita selepas tamat menjalankan operasi memberkas pemandu teksi tidak menggunakan teksi di sekitar kawasan Pavillion Bukit Bintang, KLCC dan KL Sentral pada Selasa malam.

“Kami sudah buat laporan polis dan pada masa sama sedang mengumpul maklumat untuk membuat profil penyamar-penyamar ini. Kami harap dapat mengenalpasti pasangan ini pada masa terdekat.

“Dalam keempat-empat kes yang berlaku sejak bulan lalu, pasangan ini menggunakan Modus Operandi yang sama. Mereka menyamar sebagai pegawai SPAD dan memeras ugut pemandu teksi.,” katanya.

Menurut Che Hasni, operasi semalam dilakukan setelah SPAD menerima 79 aduan mengenai teksi yang tidak mahu menggunakan meter di sekitar Kuala Lumpur terutama di KLCC, Pavillion, Bukit Bintang dan KL Sentral. Katanya daripada 79 aduan itu mereka berjaya menyelesaikan 144 kes.

“Kami membuat dua operasi, iaitu pada sebelah petang dan malam. Seramai lapan pegawai dan 60 anggota SPAD terbabit. Mereka dibantu oleh seorang pegawai dan 65 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Kami telah membahagikan tugas kepada 30 pasukan dan hasilnya kami dapat  29 kes. Pada fasa pertama kita memperoleh 15 kes. Daripada jumlah itu sembilan tak guna meter, lima menetapkan harga tambang dan seorang enggan mengambil penumpang.

“Pada fasa kedua kami dapat 14 kes. Daripada jumlah itu 11 tak guna meter, seorang tiada kad pengenalan pemandu dan seorang pemandu ditangkap dua kali kerana kesalahan sama,” katanya.

Menurut Che Hasni, pemandu teksi berbangsa Cina yang ditangkap dua kali itu juga didapati positif dadah jenis Syabu ketika anggota AADK mengadakan ujian air kencing. Sehubungan itu pemandu itu telah diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut. Kenderaannya pula disita oleh SPAD.

Katanya pemandu teksi yang menetapkan harga tambang akan dituduh di bawah seksyen 75 Akta Pengangkutan Awam di mana jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50ribu atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Dalam perkembangan lain, Che Hasni berkata, menerusi Ops Aidilfitri yang berlangsung pada 1 hingga 18 Ogos, pihaknya telah memeriksa 9,998 kenderaan yang merangkumi bas, teksi dan lori.

“Daripada jumlah itu, sejumlah 458 kesalahan telah dilakukan dengan yang paling banyak sekali membabitkan pemandu bas, iaitu 120. Daripada jumlah itu pula, tujuh bas gagal mempamer jadual perjalanan, 21 beroperasi di luar kawasan, 62 melakukan kesalahan menurunkan penumpang di tempatyang tidak dibenarkan, dan 30 tidak mengawal harga tiket (mengenakan tambang yang tidak betul).

“Kita juga berjaya menahan 27 kenderaan pelancong  kerana kesalahan tidak mempunyai senarai penumpang dan sembilan tidak ada lesen pengendali. Manakala sebanyak 75 teksi didapati mengenakan tambang berlebihan,” katanya.

Menurut Che Hasni, syarikat bas yang tidak memiliki lesen pengendali boleh dituduh di bawah seksyen 22 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM500ribu atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya lagi sejak awal tahun hingga kini SPAD sudah menangkap 144 pemandu teksi yang tidak menggunakan meter.

“Antara Januari hingga 11 Ogos tahun ini kita sudah menahan 1,105 teksi. Daripada jumlah itu 1,071 telah melanggar syarat lesen (tidak membawa kad pemandu, berpakaian tidak betul, gagal pamer permit, tingkah laku buruk). Manakala lori yang ditahan kerana kesalahan lebih muatan adalah 1187 buah. Bas ekspres yang melanggar syarat pula 597 buah.Setakat ini 60 peratus kes ini telah dibawa ke mahkamah,” katanya.- 21/8/13.










Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap