Stesen Operasi Rembau mula operasi Jumaat ini
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memberi
lampu hijau untuk stesen komuter Rembau memulakan operasinya hari ini (Jumaat)
di mana tiga perkhidmatan dari Rawang-Rembau-Rawang disediakan pada sebelah pagi
dan tiga pada waktu petang.
Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kelulusan
itu diberikan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) setelah pihaknya
berpuashati dengan kerja-kerja pembinaan rel dan stesen berkenaan.
Syed Hamid berkata dia yakin pembukaan stesen komuter
Rembau dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan
dan yang berdekatan dengannya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan
di stesen komuter Pulau Sebang (Tampin) setelah
meninjau Stesen Rembau sebelum itu pada Khamis.
Turut menyertai Syed Hamid ialah pegawai-pegawai kanan pengurusan
SPAD, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan media massa yang menaiki komuter
dari KL Sentral. Turut hadir semasa sesi lawatan itu ialah Presiden KTM Berhad,
Datuk Elias Kadir.
Perkhidmatan komuter ke Rembau adalah sambungan dari
stesen komuter Sungai Gadut, yang merupakan stesen terakhir sebelum ini.
Menurut Syed Hamid, lesen yang diluluskan oleh SPAD
asalnya adalah Lesen Tren Antara Bandar, iaitu lesen bagi perkhidmatan
menggunakan tren elektrik. Bagaimanapun buat masa ini lesen itu dibenar
digunakan untuk tren komuter memandangkan perkhidmatan tren antara bandar ke
Gemas belum siap.
“Walaupun kita memulakan perkhidmatan tren komuter
terlebih dahulu, kita berharap perkhidmatan tren antara bandar juga dapat
disiapkan segera. Ini kerana ada orang suka bergerak menggunakan tren komuter
dan ada juga suka menggunakan tren antara bandar.
“Kita juga tidak mahu perkhidmatan tren komuter dilihat
sebagai saingan kepada perkhidmatan tren antara bandar, begitu juga keretapi
laju apabila ia siap nanti. Kita mahukan ketiga-tiga perkhidmatan ini saling
melengkapi,” katanya.
Syed Hamid berkata dia berharap perkhidmatan tren antara
bandar yang akan menghubungkan Rembau ke Gemas dan seterusnya JB Sentral dapat
disiapkan sebelum Rel Keretapi Laju (HSR) KL-Singapura.
“Sebelum ini kita telah terima pertanyaan daripada Ahli
Parlimen Rembau yang juga Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin). Dia
tanya bila kita nak mulakan keretapi ke Rembau. Sekarang dia boleh datang dan
lihat sendiri.
“SPAD telah selesaikan kerja dan berpuashati. Maka
sekarang terserah kepada KTMB untuk menjalankan peranannya dan memberikan
perkhidmatan terbaik,” katanya.
Dalam
perkembangan lain, Syed Hamid berkata SPAD mengalu-alukan langkah KTMB
menyediakan perkhidmatan tren komuter 24 jam pada 30 Ogos sempena sambutan
Ambang Merdeka.
Menurut
Datuk Elias, KTMB akan meneruskan perkhidmatan tren komuter dari 12.30 malam
pada 30 Ogos sehingga 4.30 pagi 31 Ogos. Ini bermakna sebanyak 26 perkhidmatan komuter
tambahan bagi empat sektor laluan untuk keselesaan orang ramai pulang selepas
menyambut Hari Kemerdekaan.
Katanya perkhidmatan tambahan disediakan dengan kekerapan
setiap 30 minit di antara jam 12.30 malam 30 Ogos hingga 2.30 pagi 31 Ogos dan
kekerapan setiap 60 minit di antara jam 2.30 pagi sehingga 4.30 pagi.
Perkhidmatan tambahan ini meliputi Batu Caves-Pelabuhan
Klang, Pelabuhan Klang-Batu Caves, Rawang-Sungai Gadut, dan Sungai
Gadut-Rawang.
Bagi pengguna yang ingin mengunjungi Dataran Merdeka
untuk menyaksikan perarakan kemerdekaan pada 31 Ogos, perkhidmatan KTM Komuter
bagi semua laluan akan beroperasi seperti biasa bermula 5.30 pagi. – 30/8/13.
Menunggu laluan ke Gemas beroerasi.
ReplyDeletewarga Gemas sentiasa sabar menunggu bagi membolehkan kami ke mana-mana bandar seterusnya ke Padang Besar lebih mudah