SPAD umum kenaikan tambang teksi pada Khamis

Pemandu dan pengusaha teksi bakal tersenyum lebar apabila penantian dan kesabaran mereka selama lima tahun bakal membuahkan hasil.

Ini kerana pagi Khamis ini Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dijangka akan mengumumkan kenaikan kadar baru tambang teksi, setelah hampir dua tahun membuat kajian dan mengumpul maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan.

Sejak dua tahun lalu persatuan-persatuan teksi dan SPAD mengadakan rundingan demi rundingan mengenai kadar baharu tambang teksi.

Beberapa cadangan dikemukakan oleh pengendali teksi diikuti beberapa cadangan balas dari SPAD. Dengar cerita SPAD akhirnya bersetuju mengambil jalan tengah yang dirasakan dapat menghasilkan situasi menang-menang.

Pada ketika pengusaha dan pemandu teksi tersenyum lebar mendengar berita ini,  mungkin ada juga beberapa pihak yang tidak senang hati.

Tetapi pihak-pihak ini perlu ingat bahawa pemandu dan pengendali teksi juga adalah rakyat dan mempunyai hak yang sama dengan pengguna teksi.

Sehubungan itu kita perlu melihat dari setiap sudut mengapa SPAD berpendapat sudah tiba masanya kadar tambang teksi disemak semula.


Kali terakhir kadar tambang teksi disemak semula adalah pada 2009 ketika negara masih terkesan dengan krisis ekonomi dunia yang berlaku pada tahun sebelumnya.

Kadar baharu teksi bajet ketika itu telah ditetapkan kepada RM3 bagi satu kilometer pertama atau tiga minit pertama. 

Manakala tambahan kadar mengikut jarak dan masa pula adalah RM0.10 bagi setiap tambahan 115meter atau setiap 21saat perjalanan.

Sehingga ke hari ini, teksi bajet Malaysia masih menggunakan kadar semakan 2009 itu walaupun pada ketika itu umum mengetahui bahawa harga bahan-bahan seperti petrol, tayar, bateri, kos baik pulih dan insurans kenderaan telah meningkat 15% hingga 25%. Manakala kadar inflasi kumulatif sejak 2009 pula sebanyak 12.6%. 

Sebaik kerajaan Barisan Nasional (BN) menubuhkan SPAD pada Jun 2010, salah satu tugas yang dipertanggungjawabkan kepada suruhanjaya itu ialah untuk memantau hal ehwal golongan yang terbabit dalam perkhidmatan pengangkutan awam darat, termasuk pengendali teksi.

Sejak penubuhannya SPAD telah  memperkenalkan beberapa inisiatif untuk pengendali teksi, antaranya skim tayar, skim insurans, TEKS1M dan banyak lagi. 

Sejak 2013 juga SPAD telah melakukan kaji selidik terperinci bagi memastikan keputusan kenaikan tidak membebankan pengguna dan pengendali teksi.

Beberapa siri perbincangan dan sesi taklimat telah dilakukan bagi mendapatkan maklum balas dari pihak yang terbabit dalam industri teksi dan orang awam. 

Kenaikan kadar tambang teksi oleh SPAD ini dibuat setelah mengambilkira faktor-faktor berikut:

1. Kos kenderaan dan pengendalian merangkumi harga kenderaan, bayaran laba pinjaman, sewaan kenderaan termasuk sistem gas asli mampat (CNG) dan meter teksi mesti dipasang setiap teksi.

2. Kenaikan harga bahan api yang diguna teksi; CNG dan Petrol.

3. Kos penyelengaraan meliputi penyelenggaraan berjadual, hawa dingin, CNG, meter teksi, tayar, bateri, kos pembersihan dan baik pulih kenderaan.

4. Kos operasi merangkumi insurans kereta, insurans kemalangan peribadi, cukai jalan, pemeriksaan berjadual Puspakom, yuran pemeriksaan, bayaran lesen dan juga penyelenggaraan terminal kad kredit.

5. Kos buruh adalah caj dan pendapatan pemandu setelah semua di atas ditolak.

Maka, apabila SPAD mengumumkan kenaikan kadar tambang baru teksi pada Khamis ini, janganlah ada suara-suara sumbang yang menyuarakan ketidakpuasan. - 18/3/15.











Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia