Rasional kenaikan tambang teksi.

Pada 19 Mac lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar mengumumkan kenaikan kadar tambang teksi dinaikkan berkuatkuasa serta-merta.

Tetapi pengumuman itu telah membuat banyak pihak yang mungkin tidak peka dengan apa yang telah dibuat oleh suruhanjaya itu sejak ditubuhkan pada Jun 2010, mendakwa keputusan itu kononnya dibuat secara semborono.
Ada pula yang bertindak keterlaluan dengan menuduh SPAD bertindak tanpa mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Tidak terkecuali juga yang mendakwa kononnya kenaikan itu akan membebankan rakyat apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan kelak, walhal kerajaan sudah berkali-kali mengumumkan pengguna pengangkutan awam darat tidak dikenakan GST.

Ekoran desakan pelbagai sudut, dua hari selepas itu Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin mengumumkan kabinet menangguhkan kenaikan itu.

Pengumuman TPM itu telah membangkitkan rasa tidak puashati 130 ribu pemandu teksi di seluruh negara sehingga ada yang bertindak mahu melancarkan mogok.

Akhirnya pada 23 Mac, Menteri yang dipertanggungjawab ke atas SPAD, Nancy Shukri mengumumkan kenaikan kadar baru tambang teksi itu tidak jadi ditangguhkan, malah diteruskan.

Malah sebaik pengumuman kenaikan tambang itu diteruskan, beberapa persatuan teksi telah memberi jaminan akan berusaha memberikan perkhidmatan yang lebih efisyen, berkualiti dan cekap.

Hakikatnya, kajian kenaikan tambang teksi sebenarnya telah diumumkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 19 Julai 2013. Sila rujuk http://m.www.astroawani.com/berita-malaysia/najib-spad-kaji-semula-kadar-tambang-teksi-18617 danhttp://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130719/dn_02/Tambang-teksi-dikaji-semula

PM sendiri mengakui kali terakhir kadar tambang teksi disemak semula adalah pada 2009 ketika negara masih terkesan dengan krisis ekonomi dunia yang berlaku pada tahun sebelumnya.

Kadar baharu teksi bajet ketika itu telah ditetapkan kepada RM3 bagi satu kilometer pertama atau tiga minit pertama.  Manakala tambahan kadar mengikut jarak dan masa pula adalah RM0.10 bagi setiap tambahan 115 meter atau setiap 21 saat perjalanan.

Bayangkan sekarang sudah 2015 dan sepanjang tempoh itu penjawat awam dan swasta menikmati kenaikan gaji dan pelbagai bonus tahun demi tahun, tetapi teksi bajet Malaysia masih menggunakan kadar semakan 2009!
Umum mengetahui sejak 2009 harga bahan-bahan seperti petrol, tayar, bateri, kos baik pulih dan insurans kenderaan telah meningkat 15% hingga 25%. Manakala kadar inflasi kumulatif sejak 2009 pula sebanyak 12.6%. 
Sebaik SPAD yang diilhamkan oleh PM ditubuhkan pada Jun 2010, salah satu tugas yang dipertanggungjawabkan kepada suruhanjaya itu ialah untuk memantau hal ehwal golongan yang terbabit dalam perkhidmatan pengangkutan awam darat, termasuk pengendali teksi.

Sejak itu SPAD telah  memperkenalkan beberapa inisiatif, antaranya skim tayar, skim insurans, TEKS1M dan banyak lagi.

Sejak pengumuman PM pada 19 Julai 2013 itu juga SPAD telah melakukan kaji selidik terperinci bagi memastikan keputusan kenaikan tidak membebankan pengguna dan pengendali teksi.

SPAD telah mengadakan berpuluh taklimat, kajian, bengkel dan rundingan dengan pelbagai NGO, pakar pengangkutan dari IPTA/IPTS, wakil persatuan teksi, wakil persatuan pengguna dan pelbagai pihak berkepentigan dalam industri berkenaan.

SPAD menggunakan tiga corak pendekatan sebelum menentukan semakan kadar tambang teksi, iaitu melalui konsep dengar, menambahbaik dan memaklumkan.

SPAD mendengar pelbagai isu, cadangan jalan penyelesaian, menerima idea dan input bukan sahaja dari mereka, tetapi juga menerusi aduan SPAD, maklumbalas rakyat di media perdana dan media sosial serta melalui dialog dengan pihak-pihak yang berkepentingan dari seluruh negara.

SPAD melakukan penambahbaikan terhadap setiap input yang diperolehi dengan mengkaji dan menilai semula jawapan yang dikemukakan untuk dijadikan usul.

Setelah semua proses ini lengkap barulah SPAD memaklumkan keputusan kadar tambang teksi kepada semua pihak berkepentingan.

Golongan berkenaan kemudiannya memberikan cadangan balas kepada SPAD. Setelah beberapa kali berbincang akhirnya SPAD bersetuju mengambil jalan tengah yang dirasakan dapat menghasilkan situasi menang-menang.
Setelah proses itu selesai, baharulah SPAD mengemukakan cadangan muktamad kepada JPM dan Majlis Ekonomi.

Hanya setelah mendapat lampu hijau dari Putrajaya barulah Syed Hamid mengumumkan kadar baharu itu dalam satu sidang media.

Pada sidang media itu Syed Hamid memaklumkan, kenaikan kadar tambang teksi oleh SPAD ini dibuat setelah mengambilkira faktor-faktor berikut:

1. Kos kenderaan dan pengendalian merangkumi harga kenderaan, bayaran laba pinjaman, sewaan kenderaan termasuk sistem gas asli mampat (CNG) dan meter teksi mesti dipasang setiap teksi.

2. Kenaikan harga bahan api yang diguna teksi; CNG dan Petrol. (Harga bahan api telah meningkat sehingga 21% sejak 2009).

3. Kos penyelengaraan meliputi penyelenggaraan berjadual, hawa dingin, CNG, meter teksi, tayar, bateri, kos pembersihan dan baik pulih kenderaan. (Kos penyelenggaraan tayar, bateri dan baik pulih telah naik sehingga 25% sejak 2009).

4. Kos operasi merangkumi insurans kereta, insurans kemalangan peribadi, cukai jalan, pemeriksaan berjadual Puspakom, yuran pemeriksaan, bayaran lesen dan juga penyelenggaraan terminal kad kredit. (Insurans kenderaan telah meningkat sehingga 15% sejak 2009).

5. Kos buruh adalah caj dan pendapatan pemandu setelah semua di atas ditolak.

Faktor-faktor yang disebutkan itu telah menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu teksi yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan dan bekerja lebih masa bagi menampung pendapatan yang mencukupi.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal menjelaskan,  seseorang pemandu teksi yang mahu meraih pendapatan RM970 sebulan, terpaksa bekerja 12 jam sehari dan untuk meraih RM1,500 dia terpaksa bekerja 18 jam sehari!

Walaupun unit penguatkuasaan SPAD yang diketuai oleh Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad tak jemu-jemu membuat operasi dan menghukum pemandu teksi yang tidak menggunakan meter, pada masa sama dia juga mendengar alasan mereka berbuat demikian, iaitu kos perjalanan jika mengikut meter tidak menguntungkan atau tidak berbaloi.

Sehubungan itu dalam kadar baharu yang diumumkan, SPAD telah mereka satu struktur teksi bermeter bertujuan menggalakkan perjalanan teksi jarak dekat dengan kadar minima bagi setiap perjalanan berasaskan masa yang dihabiskan dalam perjalanan di dalam situasi kesesakan lalu lintas juga.

Golongan yang mendakwa kenaikan tambang teksi akan membebankan rakyat, mungkin lupa bahawa pemandu dan pengendali teksi juga adalah rakyat Malaysia yang akan lebih terkesan dengan GST kerana perkhidmatan servis dan PUSPAKOM mengenakan GST.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia