Input bina LRT ke Shah Alam, Pelabuhan Klang

Oleh ZAINI UMAR
21 FEB:  Suruhanjaya  Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengambil kira segala input  dikemukakan UMNO Bahagian Shah Alam berhubung  permohonan membina sistem Transit Aliran  Ringan (LRT) yang menghubungkan Kelana Jaya,  Shah Alam sehingga ke Pelabuhan Klang.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, input yang diberikan pihak tersebut amat berguna untuk membantu SPAD melakukan kajian  terperinci sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Kita akan berbincang dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) yang  bertanggungjawab dalam perkara ini dan  memberikan tumpuan terhadap kajian mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum berhubung permohonan tersebut  daripada Ketua UMNO Bahagian Shah Alam,  Azhari Shaari, di pejabatnya, di Shah Alam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Kamal Mohamed Ismal, Timbalan  Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, Datuk Abdul Rahim Mat Shah, Naib Ketua Bahagian, Datuk Nor Hisham Ses dan Ketua Pemuda, Ahmad Mua’adzam Yaakop.
Selasa lalu, Prasarana menyokong penuh cadangan itu yang kini berada di tahap terakhir sebelum dibentangkan kepada SPAD bulan depan.
Dalam perkembangan sama, Syed Hamid berkata, pihaknya sedang mempertimbang cadangan itu memandangkan projek laluan LRT yang menghubungkan Kelana  Jaya – Shah Alam – Pelabuhan Klang (LRT Line 3)  termasuk dalam rangka pelan induk SPAD.
“Justeru, kita amat berharap agar dapat bekerjasama dengan UMNO Shah Alam dalam sesi pendengaran awam sekiranya projek itu diluluskan kelak,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Azhari berkata, pihaknya amat  berharap rancangan itu menjadi kenyataan kerana ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 700,000 penduduk di Shah Alam.
“Kami difahamkan kajian kebolehlaksanaan telah  dijalankan oleh Prasarana pada penghujung tahun lalu dan ia sekaligus dapat mengatasi  masalah kesesakan jalan raya, mengurangkan kos dan memendekkan masa perjalanan,” ujarnya. –bnbbc.my

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap