Sejenak bersama Nancy Syukri...menteri baru dari Sarawak

Melihat raut wajahnya yang manis dan tidak lekang dengan senyuman, agak terkejut apabila mendapat tahu usianya sudah menjangkau 52 tahun. Ini kerana Nancy Syukri kelihatan  jauh lebih muda daripada usia sebenarnya. Saiz tubuhnya mungkin kecil, tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini, bukan calang-calang orang. Kejayaan dan latar belakangnya sudah cukup membuktikan bahawa perlantikannya itu adalah tepat.

Pada Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu (PRU-13), Nancy berjaya mengekalkan Parlimen Batang Sadong bagi penggal kedua dan beliau adalah seorang daripada enam anggota  Parlimen dari Sarawak yang dilantik sebagai menteri dalam barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nancy adalah pemegang ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari University of Hull, UK (1990). Selain itu beliau turut memiliki Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan UiTM - OHIO Universiti (1998) (Beta Gamma Sigma Kehormat Anugerah) dan Diploma Pentadbiran Awam ITM Shah Alam (1985).

Dengan kelayakan yang dimiliknya, maka tidak mengejutkan apabila Nancy, yang juga bekas Pengarah Perkhidmatan Undang-undang Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)  selama 11 tahun sejak 1992 dan pernah menjadi setiausaha politik kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dilantik sebagai Menteri di JPM yang  bertanggungjawab ke atas 11 agensi.

Antara agensi di bawah tanggungjawabnya ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU), Jabatan Biro Guaman, Amanah Raya Berhad (ARB), Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) dan Suruhanjaya Kehakiman dan Perkhidmatan Perundangan.

Dalam pertemuan di bangunan parlimen baru-baru ini, Nancy yang juga penolong setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, berkata beliau teruja dengan kepercayaan yang  diberikan oleh Perdana Menteri terhadapnya.



Antara agensi di bawah jagaannya, SPAD boleh dianggap sebagai agensi yang kerap menjadi perhatian kerana ia membabitkan kepentingan ramai, iaitu pengangkutan awam  darat. Sejak penubuhannya tiga tahun lalu, SPAD sering menjadi sasaran pembangkang khususnya dan orangramai amnya terutama berhubung isu perkhidmatan teksi dan bas yang sering membawa masalah.

"Saya akui selama ini saya hanya membaca dan mendengar mengenai SPAD. Oleh kerana itu masih banyak yang saya perlu pelajari. Mujurlah saya mendapat kerjasama daripada  pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar yang memberikan banyak penerangan dan bimbingan.

"Tetapi mendengar sahaja tak cukup. Saya perlu merasakan pengalamannya. Oleh itu dalam masa terdekat ini saya bercadang turun ke bawah dan mencuba pengalaman menaiki LRT, Monorel dan Go-KL. Kesemua kemudahan ini tidak ada di Sarawak," katanya.

Nancy berkata beliau tidak takut menghadapi kritikan dan bersedia menerima teguran kerana ia adalah lumrah pekerjaan. Malah, Nancy yakin dengan kebolehan dan kerjasama setiap  ketua dan kakitangan agensi-agensi di bawah kementeriannya, tugasnya tidak akan menjadi sukar.

 Malah Nancy tidak segan mengakui beliau tidak pernah menaiki teksi di Kuala  Lumpur dan bersedia menyahut cabaran wartawan Agendadaily untuk mencubanya dalam masa terdekat sebagai salah satu usaha memahami masalah perkhidmatan teksi.

Ditanya mengapa SPAD diletakkan di bawah JPM dan bukannya Kementerian Pengangkutan, Nancy berkata ia bertujuan untuk memudahkan kerajaan membuat pemantauan kerana Pelan Transformasi Kenderaan Pengangkutan Awam termasuk dalam Pelan Transformasi Kerajaan. Katanya dengan meletakkan SPAD di bawah JPM kerajaan dapat memberi fokus terhadap keberkesanannya.

Menurut Nancy, berada di barisan hadapan parlimen (sebagai Menteri) dibandingkan sebagai barisan belakang (back-benchers) sebelum ini, adalah lebih mencabar. "Jika dahulu kita yang mengajukan soalan kepada Menteri, tetapi kini kita pula yang menjawab. Selain menjawab, kita juga berdepan dengan pelbagai jenis karenah. Tetapi apapun, saya sudah bersedia menggalas sebarang cabaran," katanya.



- 3/7/2013 OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap