Satu tiket untuk semua pengangkutan awam darat menjelang 2020.

Satu tiket untuk semua pengangkutan awam darat menjelang 2020.

Satu sistem tiket bersepadu untuk semua jenis mod pengangkutan awam darat mesti direalisasikan sebelum Malaysia mencapai taraf sebagai negara maju menjelang 2020. 

“Kita perlu kreatif dan menghasilkan idea yang memberi pulangan nilai kepada negara dan memberi keselesaan kepada rakyat. Kita mahu mewujudkan sistem satu tiket untuk semua dan saya yakin kita sudah hampir ke arah itu,” kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Menurut Syed Hamid, sistem bersepadu satu tiket untuk semua boleh digunapakai untuk Express Rail Link (ERL), Aliran Transit Ringan (LRT), Aliran Transit Massa (MRT), Monorel, KTM, bas dan teksi.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan sistem pungutan tambang automatik (AFC) untuk Express Rail Link (ER) dan aplikasi mudah alih KLIA Ekspres di Sepang pada Isnin.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi eksekutif Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan ketua pegawai eksekutif ERL Noormah Mohd Noor.

Sehubungan itu Syed Hamid menggalakkan pengusaha pengangkutan awam  mencontohi langkah ERL dalam menggunakan teknologi terbaharu untuk memudahkan pelanggan mereka membeli tiket secara atas talian atau menggunakan aplikasi mudah alih dari lokasi di seluruh dunia pada bila-bila masa.

Katanya, sistem canggih yang diperkenalkan oleh ERL dan KLIA Ekspres itu adalah langkah positif ke arah mencapai sistem tiket yang cekap dan menguntungkan syarikat serta penumpang.

Sementara itu, Noormah berkata, AFC akan menggantikan sistem sedia ada, iaitu menggunakan kertas berjalur magnet. Katanya, menerusi sistem baharu itu,  satu kaedah kutipan bayaran tambang yang lebih mudah diperkenalkan, termasuk penggunaan kad pintar, tiket QR barcode, pembelian tiket atas talian menggunakan portal yang telah dikemaskini, kiosk layan diri dan aplikasi mudah alih terkini.

Katanya menerusi portal yang sudah dipertingkatkan itu, penumpang boleh menempah tiket mereka secara atas talian dan mewujudkan profil peribadi yang memudahkan pembelian segera dan pada masa akan datang.

“Sistem AFC ini memberikan penumpang akses mudah untuk mendapatkan tiket pada bila-bila masa dan dari mana-mana sahaja. Ia menawarkan kaedah bayaran yang selamat, selesa dan boleh diharap,” katanya.- 9/7/13.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap