Jangan Ugut Keputusan Kerajaan - Syed Hamid
Tak payah ugut-ugut sebab keputusan adalah muktamad, kata
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr Syed
Hamid Albar ketika diminta ulas ugutan persatuan teksi nak sokong
pembangkang atau parti Bersatu yang jika kerajaan membenarkan UBER-Grab
Car beroperasi.
Beliau berkata demikian selepas sidang media mengumumkan
keputusan kabinet meluluskan Program Transformasi Industri Teksi (TITP)
di ibupejabat SPAD di Kuala Lumpur, Selasa.
"Saya fikir ugutan ini tak patut timbul kerana kalau kita
tengok di segi manfaat dan perkara-perkara yang telah lakukan untuk
golongan ini amat banyak sekali.
"Kerajaan buka peluang supaya industri ini maju, pengguna
dan pengusaha pun untung. Saya harap mereka dapat melihat secara
positif. Tak payahlah ugut kita dan kerajaan. Tengok apa kesan
pelaksanaannya.
"Keputusan kerajaan mutamad. Sama ada dia cakap akan masuk
parti pembangkang atau tidak, itu tidak menjadi isu. Yang paling penting
kita nak transformasi industri teksi dapat dilakukan," katanya kepada
Agendadaily.
"Hentikanlah ugutan-ugutan ini. Saya harap mereka dapat
terus menyokong kerajaan lagipun ini akan membawa banyak kebaikan untuk
mereka," tambahnya.
TITP berasaskan empat prinsip utama, iatu memanfaatkan
penggunaan teknologi (termasuk mengawalselia aplikasi e-hailing seperti
diguna UBER/Grabcar), meningkatkan pendapatan dan kebajikan pemandu
teksi, meningkatkan mutu perkhidmatan pemandu dan menyemak semula kadar
tambang teksi.
Diminta mengulas tohmahan "SPAD bodoh, malas dan tak ada otak" dari seorang pemimpin persatuan teksi, Syed Hamid cuma tergelak.
"Dia kata kita bodoh, jadi kalau kita jawab kita akan jadi
bodoh. Jadi lebih baik tak usah jawab. Kita mohon pada Allah supaya
memberikannya taufik dan hidayah," katanya dalam nada berseloroh.
"Setahu saya rekod kita tidak menunjukkan dia pemandu teksi atau memiliki teksi," tambahnya.
Syed Hamid berkata, dalam sesi taklimat dan dialog antara
SPAD bersama pengusaha dan pemandu teksi pagi Selasa, isu mengenai UBER
dan Grabcar turut dibangkitkan.
Katanya pemandu teksi seharusnya mengambil kesempatan untuk
bersaing menggunakan aplikasi menempah perkhidmatan sewaan atas talian
(e-hailing) seperti yang dibuat oleh GrabCar dan UBER.
Dalam perkembangan lain, sebagai ahli politik veteran, Syed
Hamid turut diminta mengulas penubuhan parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu).
"Saya lahir dalam UMNO jadi saya tidak boleh melihat diri
ini berubah daripada UMNO. Oleh sebab itu saya fikir apa parti pun kita
tubuhkan, untuk bertapak sebagaimana yang telah dilakukan oleh UMNO,
susah sikitlah," katanya.
Syed Hamid bersetuju dengan Tun Musa Hitam yang
mencadangkan supaya pilihanraya umum diadakan lebih awal untuk
mengelakkan pembangkang mendapat ruang memainkan isu-isu yang akan
memberikan kelebihan politik kepada mereka.
Katanya UMNO tidak perlu khuatir, sebaliknya perlu bijak mengurus politik masakini.
"Kita banyak isu yang perlu diketengahkan seperti integriti
dan keyakinan. Jangan kita buat sesuatu yang boleh menjadikan orang tak
tertumpu kepada apa yang Barisan Nasional (BN) telah buat," katanya.
Syed Hamid berkata cabaran yang dihadapi oleh Datuk Seri
Najib Tun Razak amat berbeza jika dibandingkan dengan Perdana Menteri
yang terdahulu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad
Badawi.
"Najib datang dalam zaman yang sudah berubah. Semasa saya
menjadi Menteri di zaman Mahathir dan Pak Lah, isu-isu dan budaya
politik adalah berbeza. Saya tengok sekarang, pegang jawatan SPAD pun
tak mudah kerana manusia tidak ada lagi adab, tertib.
"Dunia siber boleh dikatakan satu rimba yang buas. Oleh itu
Najib berdepan dengan permintaan dan permainan politik yang berbeza dan
dia perlu menangani bukan sahaja kesan domestik tetapi juga global,"
katanya.
Syed Hamid tidak menganggap Tun Mahathir sebagai satu
ancaman kepada UMNO kerana berpendapat bekas Perdana Menteri itu
mengetengahkan isu-isu yang dia tahu adalah isu politik.
"Untuk seorang yang kita hormat sebagai negarawan, dia tak
perlu terlibat ke kancah politik sehingga boleh merosakkan nama baik dan
imejnya sendiri," katanya lagi.
Comments
Post a Comment