Malaysia-Singapura tandangani MoU projek HSR
Bayangkan - dalam masa 10 tahun lagi, tak mustahil kita
bersarapan di Kuala Lumpur, makan tengahari di Singapura dan sempat
kembali untuk makan malam di Kuala Lumpur!
Itulah yang dibayangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Mohd Najib Tun Razak selepas menyaksikan majlis menandatangi Memorandum
Persefahaman (MoU) projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala
Lumpur-Singapura di Putrajaya, Selasa. Turut bersama menjadi saksi ialah
rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong.
Menandatangani bagi pihak kerajaan Malaysia ialah Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rahman Dahlan dan Menteri Penyelaras
Infrastruktur dan juga Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Hwan.
Dalam ucapannya, Najib berkata, termeterainya MoU itu
membuktikan kesungguhan kedua-dua negara untuk menjadikan projek
berkenaan satu kenyataan dan pada masa yang sama memperatkan hubungan.
Najib berkata, MoU itu akan dijadikan garis panduan untuk
Perjanjian Dua Hala yang sah antara kedua-dua negara yang dijangka
berlangsung hujung tahun ini.
"MoU itu antaranya merangkumi persefahaman teknikal dan
infrastruktur di negara masing-masing serta hal-ehwal pengurusan kastam,
imigresen, kawalan keselamatan serta pengurusan projek ini yang
dijangka beroperasi pada 2026," katanya.
Menurutnya sebuah Jawatankuasa Projek Usahasama juga akan
ditubuhkan di mana ia akan diwakili oleh MyHSR Corporation bagi pihak
Malaysia dan Pihak Berkuasa Tanah Singapura (LTA) dari Singapura.
Katanya jawatankuasa itu akan bertanggungjawab membangun, membina dan
menyelenggara infrastruktur sivil dan stesen di negara masing-masing.
"Saya yakin MoU ini akan menghasilkan kesan positif dan projek HSR ini mencerminkan masa depan kedua-dua negara.
Sementara itu Lee menganggap lawatannya ke Malaysia sebagai singkat tetapi penting dan menggembirakan.
Lee memberi jaminan Singapura akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan ia dilaksanakan dengan sempurna.
"Jika semuanya berjalan lancar, tren pertama akan
beroperasi pada 2026. Hanya 10 tahun sedangkan 0Singapura mengambil masa
12 tahun untuk memulakan operasi MRT.
"HSR telah merapatkan hubungan kedua-dua negara dan ia akan mengubah cara hidup kita," katanya.
Kedua-dua negara telah bersetuju bahawa perkhidmatan HSR
yang membabitkan laluan sejauh 350 kilometer bermula di Kuala Lumpur dan
berakhir di Jurong East, Singapura akan mempunyai enam stesen transit
iaitu Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri, Johor
Bahru. - 19/7/2016.
Comments
Post a Comment