Di celah kesibukan...Syed Hamid sempat terjemah buku

Dalam kesibukannya memegang tugas sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Duta Khas OIC ke Myanmar serta menamatkan Phd, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar masih sempat menterjemahkan sebuah buku berjudul Wasatiyyah Dalam Al-Quran dan Sunnah.
Buku itu diterjemahkan daripada karya asal dalam bahasa Inggeris berjudul “Moderation and Balance In Islam: The Quranic Principle of Wasatiyyah, oleh Professor Dr Mohammad Hashim Kamali yang turut hadir pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabbery Cheek.
Syed Hamid bukan baru dalam dunia penulisan malah pernah menulis beberapa naskah buku, antaranya “Di Perjalanan” serta antologi sajak berjudul “Jendela Hidup” dan “Meninta di Ufuk Kabus” selain menulis pelbagai artikel di akhbar dan majalah. Tetapi ini adalah kali pertama Syed Hamid menceburkan diri dalam bidang penterjemahan.
“Ia bukan kerja yang mudah. Saya terpaksa membaca berulangkali setelah selesai membuat terjemahan. Ia sangat mencabar kerana kita bukan setakat menterjemah tetapi cuba memahami idea dan apa yang mahu diluahkan oleh penulis asal. Saya rasa mengarang lebih mudah dari menterjemah,” kata Syed Hamid dalam ucapannya semasa pelancaran buku berkenaan.
Shabbery Cheek yang pernah menjadi setiausaha parlimen kepada Syed Hamid pada 2006 menganggap buku berkenaan sebagai antara hasil terjemahan terbaik pernah dibacanya.
Buku Wasatiyyah Dalam Al-Quran dan Sunnah disokong oleh International Institute of Advanced Studies (IAIS) dan diterbitkan oleh MPH. – 9/9/14- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap