Ops Hippo SPAD tahan 25 lori bawa lebih muatan.
Awal pagi Jumaat, sementara peminat bolasepak di seluruh negara khusyuk menonton
siaran langsung perlawanan pembukaan Piala Dunia, sekumpulan pemandu lori juga
sibuk beroperasi di sekitar Puchong dengan membawa muatan lebih daripada had
yang dibenarkan.
Tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya tersungkur ke tanah jua! Pemandu-pemandu
lori berkenaan tidak menyedari ketika itu unit penguatkuasa Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang menjalankan Ops Hippo sekitar Puchong.
Lantas 25 lori ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan. Daripada jumlah
itu 12 lori didapati membawa lebih muatan, 12 mengubahsuai panel sisi dan sebuah
kerana melakukan halangan jalanraya.
Di badan lori jelas tertera berat yang dibenarkan adalah 30 tan, tetapi
muatan yang dibawa melebihi antara 100 hingga 160 peratus!
Ops Hippo itu diketuai oleh Pengurus Besar Penguatkuasaan SPAD, Datuk Paduka
Che Hasni Che Ahmad yang dibantu oleh lapan pegawai dan 27 anggota. Ia bermula
jam 4 pagi dan berakhir pada 12 tenghari.
Menurut Che Hasni Ops Hippo dijalankan setelah SPAD mendapat banyak aduan
dari penduduk Puchong. Katanya, penduduk
mengadu banyak jalan rosak disebabkan kekerapan lori membawa muatan berlebihan.
“Sebenarnya kami sudah melakukan banyak Ops Hippo di kawasan ini tetapi
nampaknya golongan ini tak serik-serik. Sejak
unit ini memulakan operasi pada Jun 2011 hingga hari ini kami telah membuat 4820
tangkapan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, pada tahun ini sahaja kita
telah menangkap 1,394 lori,” katanya.
Menurut Che Hasni, SPAD telah mengenalpasti antara kawasan “hot-spot”
kegiatan berkenaan ialah di Rawang, Cheras dan Puchong. Kebanyakan kesalahan
yang dilakukan ialah membawa muatan berlebihan dan kegagalan memenuhi ciri
keselamatan.
Che Hasni berkata, syarikat pengendali lori-lori terbabit akan didakwa
dibawah Seksyen 57 Akta Pengangkuan Awam Darat yang jika didapati bersalah,
boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM1ribu dan tidak lebih RM500 ribu
atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. – 14/6/14.
Comments
Post a Comment