SPAD integrasi pelan pengangkutan awam

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), sedang melaksanakan langkah untuk mengintegrasikan pelan bagi sistem pengangkutan awam di kawasan bandar dan luar bandar.

Ia bertujuan menyediakan akses dan hubungan pengangkutan awam yang lebih meluas antara kedua-dua kawasan.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata sebelum ini pihaknya lebih menumpukan kepada perkhidmatan pengangkutan awam di bandaraya utama Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, namun ia kini mula beralih ke bandar di negeri lain.


Beliau berkata, bagi tujuan itu setiap negeri sudah diwujudkan komuniti teknikal yang dipengerusikan Unit Perancang Ekonomi (EPU) negeri masing-masing dengan SPAD bertindak sebagai sekretariat.

“Negara kini sudah memiliki sistem bas yang penting sebagai akses kawasan luar bandar, dan SPAD berharap dengan langkah ini kita dapat mengintegrasikan pelan perkhidmatan awam di kawasan bandar dan luar bandar.

“Kita sedang menuju ke arah perluasan kawasan bandar. Ketika ini 70 peratus daripada rakyat Malaysia tinggal di bandar, dan langkah integrasi ini akan memberikan kesan besar kepada majoriti penduduk Malaysia,” katanya dalam ucapan pembukaan Persidangan SPAD 2013, di Kuala Lumpur, semalam.

Persidangan itu menyediakan platform bagi meningkatkan pemahaman terhadap sistem pengangkutan bersepadu dan kemapanan sistem pengangkutan bandar dalam kalangan agensi kerajaan, pihak berkuasa, profesional dan ahli akademik yang terbabit.
Ia sebahagian usaha SPAD mendapatkan kerjasama semua pihak terbabit bagi menjayakan matlamat menyediakan perkhidmatan awam yang berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia mengikut model berkesan seperti dari Jepun, Riyadh dan Australia.

Sementara itu, Ketua Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata SPAD kini sedang membangunkan model tiket tunggal dengan menggunakan platform Touch 'n Go bagi semua pengangkutan transit.

Katanya, pihaknya akan membentangkan cadangan kepada kerajaan untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan penerapan sistem Touch 'n Go sebagai sistem satu tiket tunggal itu.

- BERITA HARIAN

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap