Kerajaan tambah RM160billion untuk projek berkaitan rel menjelang 2020.





Kerajaan telah melaburkan lebih RM50billion dalam projek-projek berkaitan rel sejak 1990 dan dijangka membelanjakan tambahan RM160 bilion menjelang 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya berikutan perkembangan pesat industri rel, aplikasi infrastruktur pintar boleh mengurangkan kos dan meningkatkan tahap keselamatan serta kebergantungan pada industri pengangkutan awam.

"Aspek paling kritikal ialah melatih tenaga mahir dalam industri rel untuk memastikan pembinaan dan operasi berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
"Industri rel memerlukan pekerja terlatih untuk pembinaan trek, kemudahan dan lain-lain infrastruktur penyelidikan dan pembangunan, serta pengeluaran peralatan komunikasi dan isyarat. 

Di samping itu banyak kekosongan perlu diisi di mana projek MRT sahaja dijangka mewujudkan lebih 130,000 peluang pekerjaan," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Industri Keretapi Asia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Selasa.Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Fadhilah Yusof dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Perdana Menteri berkata pertumbuhan industri rel dalam negara merupakan tanggungjawab besar ke atas kerajaan, penggiat industri serta agensi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, SPAD dan Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).
Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengalu-alukan penubuhan Akademi SPAD yang bakal menjadi pusat kecemerlangan bagi industri rel dan pengangkutan awam darat.

"Saya alu-alukan inisiatif SPAD kerana kita semua tahu, tanpa tenaga mahir dan berpengalaman serta profesional, tidak ada industri yang dapat berdaya tahan atau berkembang," katanya.

Najib berkata, Malaysia bertuah kerana berjaya menarik perhatian China South Railway Group, iaitu salah satu daripada syarikat pembuat tren terbesar di dunia untuk bekerjasama menerusi anak syarikatnya, CSR ZhuZhou Electric Locomotive Co Ltd, untuk membina Pusat Rel ASEAN di Batu Gajah perak yang dijangka siap pada pertengahan 2014.

"Saya yakin Malaysia boleh berjaya dan cemerlang dalam perniagaan rel dan pada masa yang sama meningkatkan mobiliti rakyatnya secara mampan. Dalam konteks ini, persidangan ini adalah satu forum yang tepat untuk belajar dan berkongsi. 

"Saya harap seminar ini dapat dijadikan sebagai tempat pertemuan pakar-pakar rel dan perunding untuk bertukar fikiran, berkongsi maklumat dan mencari peluang untuk mengadakan kerjasama," katanya.

Pada majlis itu Perdana menteri turut menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MOU) di antara SPAD dan Institute Rail Signal Engineers (IRSE) dalam usaha meningkatkan standard keselamatan operasi dan penyelenggaraan tren, di samping melahirkan jurutera dan juruteknik berkelayan dan bertauliah dalam industri rel. - 10/9/13.




THE OPENING CEREMONY OF RAIL BUSINESS ASIA 2013
DATE  : 10th SEPTEMBER 2013
TIME   : 2PM - 5PM
VENUE : KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE (LEVEL 3)












Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap