S.P.A.D. tidak akan berkompromi dengan pemandu lori yang tidak mematuhi undang-undang

KUALA LUMPUR (15 Februari 2014): Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) tidak akan berkompromi dengan mana-mana operator atau pemandu lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. SPAD telah diberi amanah untuk mengawalselia dan menguatkuasakan undang-undang berkenaan. Pegawai-pegawai SPAD sentiasa dan akan menjalankan tanggungjawab tersebut mengikut prosedur dan tatacara yang telah ditetapkan.

Berikutan dengan kejadian bantahan 50 pemandu lori tanah dan batuan di JPJ Taman Daya, Johor Bahru pada 12 Februari 2014, SPAD kesal dan memandang serius kejadian tersebut. Kesemua 50 pemandu lori ini tidak berpuas hati dengan kekerapan operasi yang dijalankan oleh SPAD walaupun ianya mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Rekod SPAD menunjukkan sebanyak 674 kesalahan telah dilakukan oleh pemandu pemandu lori di Zon Selatan sejak 2013 sehingga Januari 2014. Kesalahan yang paling ketara adalah lebih muatan dan tidak mengambil langkah-langkah keselamatan bagi pengguna jalanraya lain. Suruhanjaya amat memandang berat isu lebihan muatan membabitkan lori kerana ianya berisiko tinggi dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Aspek keselamatan pengguna jalanraya lain sentiasa diberi keutamaan oleh semua agensi penguatkuasaan jalanraya.

Sehubungan ini, SPAD ingin menyarankan agar semua pemandu-pemandu lori menghormati undang-undang yang telah ditetapkan bagi mengelak tindakan dari mana – mana agensi penguatkuasaan. Namun demikian, SPAD juga sentiasa mengamalkan konsep “open door” untuk sebarang perbincangan dan menyeru kepada mereka yang mempunyai masalah atau sebarang kemusykilan untuk datang berbincang dengan pegawai SPAD di pejabatnya yang berdekatan.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap