Pengerusi SPAD jadi mangsa hentam keromo...

Zaman informasi di hujung jari ini, ramai yang hendak jadi 'rambo'... mengamuk salahkan orang sana-sini menggunakan media sosial. Pantang salah sikit, berjela-jela kena maki.

Paling kerap jadi mangsa orang politik, tidak terkecuali, instrumen kerajaan terutamanya yang menguatkuasakan undang-undang, macam polis, JPJ, dan lain-lain.

Al kisah, turut sama jadi mangsa 'hentam keromo' ini adalah Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Angin tidak ribut tidak, ada media pro pembangkang yang menyiarkan kenyataan seorang ahli perniagaan Datuk Shamsubaharin Ismail suruh beliau letak jawatan pada Rabu.

Bagi Syed Hamid sendiri, sebagai seorang pengerusi kepada suruhanjaya yang mempunyai kaitan dengan orang ramai, beliau mengalu-alukan pandangan, cadangan mahupun kritikan tapi biarlah berasas.

Menurut beliau kenyatan ahli perniagaan yang juga pengasas syarikat Teksi Premium Big Blue itu banyak berasas pada emosi dan tidak berlandaskan kepada fakta.

"Dia tidak menyebutkan masalah sebenar yang dihadapinya. Dia cakap kita semua tak turun ke bawah. Kita turun ke bawah. Banyak yang dia cakap tak ada kebenaran. Dia banyak buat personal attack.

"Saya bukan dilantik oleh dia. Saya dilantik oleh Perdana Menteri. Kalau Perdana Menteri nak suruh saya berhenti, saya berhentilah. Tetapi dia kena tengok fakta.
Walaupun kumpulan penguatkuasa SPAD masih baharu, tetapi kesan tindakan kita telah menunjukkan pencapaian yang amat tinggi dan rakyat memberikan gambaran yang positif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Shamsubaharin melalui sebuah portal pembangkang pada Rabu yang meminta beliau meletak jawatan kerana tidak 'turun padang'.

Menurut Syed Hamid, bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, tetapi SPAD sentiasa turun padang untuk mendapatkan pandangan pengusaha dan rakyat menerusi sesi dialog.

"Apapun keputusan yang dibuat oleh SPAD adalah keputusan yang diasaskan setelah kita berdialog dengan pihak berkepentingan. Jadi tidak ada satu keputusan yang datang dari langit yang kita buat mengikut pendapat kita sendiri. Kita juga sudah dengar pandangan pemandu," katanya lagi.

Mengenai dakwaan Shamsubaharin bahawa ada pegawai SPAD bertindak seperti samseng, Syed Hamid berkata setiap anggotanya bertindak mengikut Standard Operating Procedure (SOP).

"Pegawai SPAD tidak akan mengambil tindakan dengan menggunakan kekerasan ataupun kezaliman. Tetapi kalau orang berlawan dengan kita,  maka kita mesti mempertahankan kedudukan kita. Bukan  kita bertindak balas. Kita nak melaksanakan undang-undang. Tuduhan yang mengatakan kita macam samseng adalah satu tuduhan liar."

Syed Hamid berkata dalam kejadian di Johor baru-baru ini pegawai SPAD dipukul ketika menjalankan tugas walaupun dia menjalankan tugas mengikut SOP.Insiden itu telahpun dilaporkan kepada polis.

"Ada sebuah syarikat di Johor dan beroperasi dari Senai dari kaunternya ada di situ. Kita bertindak setelah mendapat aduan daripada pengusaha-pengusaha individu yang lain supaya diambil tindakan. Jadi dia tak boleh gunakan ketidakpuasan hati untuk membuat tuduhan ke atas SPAD.

"Kalau betul tuduhan kita ada bertindak kasar seperti samseng, silalah buat laporan dan kita akan ambil tindakan dan siasat. Kita tidak pernah bertindak seperti samseng. Kita bertindak mengikut SOP dan berlandaskan undang-undang. Soal mengenai undang-undang kita tidak ada kompromi. Kalau kita tidak berkompromi dan ini dianggap sebagai satu tindakan samseng, macam mana kita nak buat? Kita hanya menjalankan tugas.

"Saya berasa amat sedih dengan orang macam ini dalam industri ini. Sepatutnya dia membantu SPAD dengan menambah nilai dan meningkatkan lagi mutu daripada membuat tuduhan macam ini yang tidak benar," kata Syed Hamid lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Muhd Nur Kamal Ismal, setiap kali unit penguatkuasaan SPAD menjalankan operasi, mereka tidak akan bertindak sendirian malah akan menjalankannya secara bersepadu dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi-agensi lain.

"Kita cuba mendisplinkan industri ini dan kita bertindak bukan untuk jadi popular. Pegawai-pegawai SPAD termasuk saya tak ada jawatan politik. Kita hendak memenuhi  cita-cita kerajaan untuk membawa perubahan ke arah kebaikan, bukan untuk keburukan," tambah Syed Hamid. - 20/2/2014 Agendadaily

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap