SPAD akan meneliti laporan audit kejadian kemalangan bas Genting Highland

SPAD AKAN MENELITI LAPORAN AUDIT KEJADIAN KEMALANGAN BAS HENTI-HENTI DI KM35 JALAN GENTING HIGHLAND

KUALA LUMPUR: 20 Februari 2014- Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah meneliti dan mengambil maklum hasil laporan audit kejadian kemalangan Bas Henti-henti di KM 3.5 Jalan Genting Highland yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan. Segala syor dan cadangan yang dikemukakan akan diberi perhatian sama ada yang melibatkan proses atau prosedur.

Selain daripada menjalankan tugas utama mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, SPAD juga mempunyai tanggungjawab bersama dengan agensi lain. SPAD sentiasa bekerjsama dengan semua agensi yang berkaitan dengan sistem pengangkutan awam darat.

Punca utama kemalangan pada 20 Ogos 2013 adalah kecuaian pemandu dan kelajuan yang tinggi. “Human Factor” adalah salah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh pengusaha atau operator. Sehubungan ini, SPAD telah mengambil langkah pencegahan drastik. Antaranya: Pekeliling mengenai pelaksanaan kod amalan industri (SPAD ICOP Keselamatan) yang diwartakan pada 20 Ogos 2013 menyeru semua operator memberi penekanan khusus kepada segala aspek keselamatan, penyelenggaraan dan mengawal selia pemandu. Selain itu, Pekeliling mengenai keselamatan untuk pengendali bas bagi operasi di kawasan tanah tinggi yang telah diwartakan pada 9 September 2013 memberi penekanan khusus kepada pengurusan pemandu, pematuhan U.N.E.C.E Rule 66 / ADR (super structure), Rule 80 pemasangan tali pinggang keledar bagi semua kerusi didalam bas, pemasangan GPS dan pemasangan sistem keselamatan brek seperti “engine retarder” diwajibkan. Semua pengendali bas ekspress dan henti-henti diwajibkan untuk mematuhi segala perkara yang termaktub dalam perkeliling tersebut yang mana turut dijadikan syarat pelesenan. Ini merupakan langkah kawalan tambahan dan telah dijadikan syarat pelesenan yang telah dikuatkuasakan oleh SPAD dengan matlamat menangani kelemahan-kelemahan aspek keselamatan operasi di kalangan pengendali yang boleh mengurangkan risiko kemalangan.

Pada masa yang sama, SPAD telah menjalankan siasatan dalaman ke atas syarikat bas yang terlibat dengan kes kemalangan ini. Setelah meneliti secara terperinci segala aspek keselamatan dan pengurusan penyelenggaraan syarikat tersebut, SPAD telah menggantung lesen pengendali Genting Highlands Transport Sdn.Bhd pada 25 November 2013.

SPAD sentiasa mengemaskinikan segala proses dan prosedur berkaitan Surat Tawaran Kelulusan (STK) yang dikeluarkan berdasarkan maklumat syarikat atau individu, dan Permit Kenderaan yang mana hanya akan dikeluarkan setelah mendapat kelulusan daripada Bahagian Kejuruteraan JPJ dari segi spesifikasi teknikal kenderaan dan surat kelulusan pemeriksaan PUSPAKOM. Spesifikasi teknikal ini merujuk kepada aspek kerangka kenderaan perdangangan/bas, jumlah penumpang berdiri dan duduk, kesesuaian kenderaan tersebut dilaluan yang diluluskan dan lain-lain perkara yang telah ditetapkan oleh pihak JPJ.

SPAD sentiasa menyambut baik segala cadangan Kerajaan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam negara, termasuk cadangan untuk mewujudkan  Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara. Walaubagaimanapun, kajian menyeluruh harus dijalankan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan tanggungjawap antara agensi. Selain itu, SPAD juga ingin mencadangkan supaya penstukturan semula agensi-agensi yang berkaitan dengan lanskap keselamatan jalanraya di Malaysia dilaksanakan bagi memastikan transformasi keseluruhan industri ini dapat dijalankan.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap