Sarawak tolak bas henti-henti

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menolak penggunaan bas henti-henti berkuasa enjin diesel yang ingin dibawa masuk oleh Kerajaan Pusat menerusi Skim Transformasi Bas Henti-Henti.

Sebaliknya, mereka mahu bas berkenaan ditukar kepada enjin berkuasa elektrik.

Keputusan penggunaan bas elektrik oleh kerajaan negeri dibuat bertujuan menyerap tekanan harga tambang berpunca daripada turun naik harga diesel setiap minggu terutama kepada rakyat kebanyakan yang sering menggunakan pengangkutan terbabit.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata transformasi bas henti-henti perlu dilaksanakan berkonsepkan cekap tenaga, selain sejajar teknologi moden dengan Sarawak mempunyai kapasiti membekalkan tenaga elektrik pada tarif rendah.

"Sejumlah RM50 juta diperlukan bagi membawa masuk sekurang-kurangnya 50 bas elektrik ke negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Penggunaan bas elektrik berkenaan memberi kesan signifikan dan nilai tambah kepada industri pelancongan Sarawak keseluruhannya.

"Majoriti pelancong asing ke Sarawak mempunyai tahap kesedaran tinggi terhadap penjagaan alam sekitar, maka penggunaan bas elektrik menggunakan tenaga hijau akan menjadi publisiti berkesan untuk mempromosikan negeri ini sebagai destinasi melestarikan penggunaannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam perjanjian ditandatangani November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, mengumumkan Skim Transformasi Bas Henti-Henti, bertujuan menggantikan pengangkutan awam yang sudah usang kepada bas baharu.

Sekurang-kurangnya 100 bas henti-henti baharu dijangka dibawa masuk ke Sarawak bermula tahun ini dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bertanggungjawab menguruskan kemasukan bas terbabit, manakala sebuah konsortium tempatan ditubuhkan untuk melaksanakan pengoperasian.

Abang Johari berkata, hasrat kerajaan negeri mahu menggunakan bas elektrik sudah dinyatakan kepada Kerajaan Pusat tetapi kekangan peruntukan menyebabkan jumlah bas baharu terbabit dikurangkan.

"Selaras dasar kerajaan negeri menekankan penggunaan lestari berkonsepkan tenaga hijau, kita menolak bas henti-henti menggunakan enjin diesel.

"Justeru, bas henti-henti yang mahu dibawa masuk tahun ini akan dikurangkan jumlahnya bagi menampung kos menggantikan enjin elektrik.

"Kerajaan negeri akan mengambil inisiatif melakukan pelaburan semula membeli bas jenis berkenaan, sekali gus menamatkan enjin bas berkuasa diesel demi menjaga persekitaran negeri ini daripada kesan pembakaran bahan api," katanya. - Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap