SPAD kerjasama dengan PDRM tapis bakal pemandu e-hailing

21 JUN: Meskipun setiap maklumat peribadi mengenai pemandu e-hailing telah diambil sebelum dibenarkan beroperasi mengambil penumpang, namun latar belakang dan sejarah lampau pemandu tersebut masih menjadi tanda tanya dan boleh mengundang bahaya kepada keselamatan penumpang.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri mahu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memastikan setiap pemandu e-hailing ini bersih dari sebarang rekod jenayah.
Katanya, SPAD adalah suruhanjaya yang diberi kuasa untuk menapis setiap bakal pemandu e-hailing ini dengan kerjasama PDRM.
“Kita perlu ambil kisah dengan latar belakang setiap pemandu. Kita tidak boleh ambil mudah perkara ini. Kita tidak boleh mengetahui rekod jenayah lampau setiap pemandu kecuali jika dapat kebenaran dari pihak PDRM.
“Memang betul dalam aplikasi itu ada maklumat mengenai kereta dan diri pemandu tersebut tetapi tidak ada maklumat mengenai latar belakang dan rekod jenayah mereka. Kita tidak kenal mereka, jadi sekurang-kurangnya kita boleh meminta polis membuat semakan mereka terlebih dahulu, ” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan 300 lesen individu kepada kumpulan pemandu teksi yang kedua dibawah Program Trasformasi Industri Teksi, pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai perlaksanaan butang panic atau butang kecemasan pada aplikasi e-hailing, Nancy menjelaskan pengusaha e-hailing telah menunjukkan respon positif.
“Bukan sahaja Uber, malah GrabCar juga positif dengan arahan melaksanakan butang panik ini. Meraka secara dasarnya setuju.
“Mereka bukan sahaja telah mengadakan pertemuan dengan SPAD, tetapi turut megadakan pertemuan dengan saya,” jelasnya.
Menurut Nancy lagi, perlaksanaan butang panik ini tidak perlu menunggu dikuatkuasakan melalui penggubalan rang undang-undang, tetapi tiada pengecualian untuk melaksanakan pemasangan butang panic sebagai usaha melindungi keselamatan serta langkah pencegahan insiden buruk kepada penumpang perkhidmatan e-hailing.
Sebelum ini, Nancy telah menggesa pelaksanaan butang panik atau butang kecemasan (SOS) diselaras kepada operasi e-hailing di seluruh negara .
Perkhidmatan GrabCar dan Uber perlu melaksanakan pemasangan butang panik demi keselamatan penumpang.
Penggunaan butang panik dicadangkan selepas berlaku insiden penumpang wanita didakwa dirogol seorang pemandu Grabcar baru-baru ini di Selangor. - BNBBC

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap