Pindaan akta pastikan perkhidmatan e-hailing dipertingkat

28 JULAI: Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) yang diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam bakal menyaksikan kualiti perkhidmatan teksi serta e-hailing seperti Uber dan Grabcar di seluruh negara ditingkatkan, kata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Dalam satu kenyataan hari ini, SPAD berkata pindaan itu akan memastikan pengendali dan pemandu perkhidmatan tersebut mengguna pakai standard keselamatan termasuk pemeriksaan latar belakang mandatori.
“Suruhanjaya juga berkuasa memperkenalkan dan menguatkuasakan peraturan seperti mewajibkan pengendali perkhidmatan e-hailing menyerahkan maklumat berkaitan perjalanan dan kenderaan yang digunakan kepada SPAD bagi perancangan pengangkutan awam darat,” katanya.
Tambah kenyataan itu, selain memastikan tambang e-hailing ditentukan kuasa pasaran, pindaan itu juga mampu meningkatkan pendapatan pemandu melalui penggunaan harga tambang dinamik ketika menggunakan aplikasi e-hailing atau kadar tambang teksi bermeter semasa mengambil penumpang di bahu jalan.
“Perubahan itu adalah wajar dan akan berupaya memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna, dan pada masa sama menyediakan medan persaingan adil bagi industri teksi melalui penggunaan teknologi terkini.
“SPAD akan menggariskan butiran yang lebih lanjut mengenai pindaan APAD ini serta impak perundangan terhadap industri teksi dan perkhidmatan e-hailing dalam jangka masa terdekat,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama menjadikan perkhidmatan sebagai satu perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang.
Perkara itu menjadi realiti selepas Parlimen semalam meluluskan beberapa rang undang-undang (RUU) termasuk RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 yang dibentangkan secara berasingan tanpa pindaan menerusi undian lisan. - BNBBC

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap