Syed Hamid - bukan SPAD yang sebabkan kemalangan

Setiap kali berlaku kemalangan yang membabitkan bas, pasti ada pihak-pihak tertentu yang menyalahkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Sekali dua, kira okaylah. Tetapi kalau selalu sangat berlaku, kalau kita berada di  kerusi Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, kita pun akan berasa rimas.

Pengerusi SPAD itu pun merasa musykil di mana logiknya apabila berlaku kemalangan, SPAD dipersalahkan sehinggakan ada pihak mendesak supaya suruhanjaya itu diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).

"Saya lihat banyak sangat spekulasi. Ada orang bila berlaku kemalangan, salahkan SPAD. Kita nak memperbaiki sistem pengangkutan awam darat.

"Adalah lebih baik kita tumpukan kepada masalah sebenar sama ada SPAD di bawah bidang kuasa siapa atau masalah kemalangan yang berlaku. Adakah kemalangan itu disebabkan kegagalan SPAD?

"Saya fikir ini bukan isunya. Nak letak bawah siapa pun terpulang kepada Kerajaan. Bukan SPAD yang menentukan kita patut berada di bawah siapa.

"Tak betul kalau mereka nak salahkan kemalangan itu kerana kegagalan SPAD, maka suruhanjaya ini patut diletak di bawah MOT.

"Masa tak ada SPAD pun, di MOT macam-macam cerita berlaku. Di mana logiknya pun saya tak tahu. Jadi bila kita tak tahu logiknya susahlah nak bertekak. Buang masa saja."

Syed Hamid berkata demikian pada sidang media di Kuala Lumpur, Jumaat.

"Biarlah saya jelaskan. Bukan SPAD yang menentukan kita di bawah siapa. Kita tak kisah. Yang penting ialah kita dapat menjalankan tugas dan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

"Sekiranya kerajaan merasakan SPAD patut diletakkan di bawah MOT, itu adalah prerogatifnya.

"Pada ketika ini, mengikut akta, SPAD adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Bukan kita minta. Perdana Menteri terbabit dalam perancangannya. Dia merasakan sebuah suruhanjaya pengangkutan awam patut ditubuhkan dalam mereliasasikan transformasi pengangkutan awam.

"Sepatutnya sebagai sebuah suruhanjaya kita bebas dari sesiapa kecuali Perdana Menteri. Tapi tak kisahlah. Saya cuma cuak bila orang cuba lagakan kita dengan mana-mana agensi atau kementerian lain.

"Selama ini Menteri yang menjawab bagi pihak SPAD di parlimen pun ialah Menteri di JPM. Sekiranya hari ini kerajaan memutuskan MOT yang patut menjawab bagi pihak kita, ia terpulang kepada Kerajaan," katanya lagi.

Syed Hamid berkata, dia tidak mahu membuang masa melayan desakan atau tuntutan yang tidak ada logiknya. Malah dia mahu menumpukan perhatian pada isu kemalangan terutama yang berlaku di lebuhraya Utara Selatan berhampiran Terowong Menora pada 10 Julai lalu.

Berikutan kemalangan itu, setelah siasatan terperinci SPAD memutuskan menggantung perkhidmatan bas Qistna Express berkuatkuasa hari ini.

"Biarlah kita tumpu pada soal pokok berkenaan kemalangan. Kemalangan itu bukan disebabkan oleh SPAD berada di bawah JPM atau tak akan ada kemalangan berlaku kalau SPAD di bawah MOT," tegasnya.

Pada sidang media berkenaan Syed Hamid memberikan penjelasan terhadap beberapa laporan kurang tepat di beberapa media yang dikhuatiri akan mengelirukan orangramai terhadap tindakan oleh SPAD.

Menurutnya, tiga buah agensi selalunya terlibat bila berlaku kemalangan. Yang pertama ialah polis yang akan mengadakan siasatan jenayah samada orang terbabit telah melakukan kesalahan mengikut Penal Code atau Akta Jalanraya.

Yang keduanya ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) 
yang melihat samada ada ada kegagalan di segi kenderaan atau pemandunya memiliki lesen perkhidmatan pengangkutan awam (PSV) atau tidak.

Ketiga, di bawah MOT memang menjadi satu amalan untuk mengarahkan Institut Penyelidikan dan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang membuat siasatan mendalam terhadap sebab kemalangan berlaku dan kesannya.

"SPAD adalah agensi yang terakhir. Kita akan melihat samada semasa siasatan ini dijalankan kita boleh mengambil tindakan untuk menggantung lesen operator.

Tapi jangan lupa bahawa kita tidak boleh mengetepikan proses undang-undang. Ini kerana kita adalah sebuah negara yang berasaskan kepada undang-undang. Kita tak boleh mengambil tindakan serta merta. Ada proses yang perlu diikuti.

Syed Hamid mengakui terdapat kelemahan pada sistem. Sehubungan itu berkata SPAD akan berbincang dengan polis dan JPJ samada mereka boleh berkongsi maklumat jenayah yang membabitkan pemandu bas.

"SPAD tidak ada maklumat berkenaan kesalahan lama pemandu. Kalau mereka ada jenayah, rekod disimpan oleh polis atau JPJ. SPAD sekarang sedang berbincang sama ada kita boleh berkongsi maklumat dengan polis atau JPJ kerana dengan cara ini kita mungkin boleh ambil tindakan sebelum kejadian berlaku."

Syed Hamid berkata dia bersetuju dengan cadangan MOT untuk memperkenalkan "Speed Limiter" pada bas-bas ekspress."



Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap