SPAD gantung lesen syarikat bas kemalangan di Terowong Menora

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan proses penggantungan lesen serta 26 permit bas Qistna Express Sdn. Bhd.

Tindakan itu diambil berikutan kemalangan membabitkan bas syarikat berkenaan pada 10 Julai di KM265.8 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pihaknya telah memulakan tindakan itu akibat pelanggaran syarat keselamatan mandatori berdasarkan laporan audit SPAD terhadap syarikat tersebut bertarikh semalam (12 Julai 2016).

Katanya, tindakan itu diambil sementara menunggu hasil siasatan dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang sedang dijalankan.

Tegas beliau, SPAD memandang serius pematuhan keselamatan mandatori oleh pengusaha bas ekspres.

“Suruhanjaya (SPAD) percaya tindakan terhadap Qistna Express akan menjadi peringatan tegas kepada pengendali bas ekspres lain untuk memastikan mereka sentiasa mematuhi Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD setiap masa bagi mengutamakan keselamatan pengguna.

“SPAD memberi jaminan kepada orang ramai pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan pengendali bas mengoperasikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan lalu lintas serta keselamatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan kepada media Rabu.

Ahad lalu, sebuah bas persiaran milik Qistna Express merempuh sekurang-kurangnya 10 kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan selepas Terowong Menora-Ipoh kira-kira jam 3 petang.

Akibat rempuhan itu, dua dilaporkan cedera, manakala semua 28 penumpang dalam bas berkenaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.-13/7/2016

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap