SPAD perkenal CTSS pantau pengagihan dan prestasi teksi

*Gambar arkib
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mendapati hanya 27% daripada jumlah teksi yang sedia ada, mempunyai sambungan melalui aplikasi tempahan teksi.
Bagi mengisi kekurangan itu, SPAD akan melaksanakan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat (CTSS) yang berfungsi sebagai pusat bagi memantau pengagihan dan prestasi teksi.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar menerusi kenyataannya kepada media, berkata CTSS akan diintegrasikan dengan sistem tempahan bagi meningkatkan mutu perjalanan yang dialami penumpang.
"Dengan adanya pemadanan pelanggan dan pendapatan yang lebih baik ini, kami percaya pemandu teksi dapat memberikan perkhidmatan yang lebih menguntungkan pengguna," katanya
Menurut Syed Hamid, SPAD telah melalukan pelbagai usaha bagi mengubah industri teksi Malaysia yang dikelolakan oleh kementerian-kementerian berlainan.
Pada masa yang sama, katanya terdapat banyak negara yang mengamalkan kedua-dua sistem teksi di bawah pemilikan individu dan syarikat.
"Pengalaman mereka menunjukkan adanya kebaikkan dan kelemahan bagi kedua-duanya. Di dalam konteks Malaysia, kita perlu merumuskan rancangan yang sesuai dengan keperluan tempatan, tambahnya.
Menurut Syed Hamid lagi, SPAD dari semasa ke semasa berusaha keras di dalam menyelaraskan perkhidmatan teksi dengan melakukan perubahan-perubahan yang amat penting.
Ini termasuk mencadangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang akan melibatkan semakan terhadap kuasa kawalselia secara menyeluruh ke atas industri teksi.
Katanya di dalam mencapai tujuan tersebut, SPAD akan memastikan peraturan-peraturan yang mengutamakan pengguna tidak akan menghalang inovasi atau melindungi model perniagaan yang sedia ada.
Antara usaha yang akan dilakukan oleh Suruhanjaya itu ialah untuk mengkaji semula polisi pelesenan yang sedia ada, memperbaiki program-program penguatkuasaan dan memberikan medan persaingan yang adil kepada semua pihak yang akhirnya akan memberikan manfaat kepada rakyat.
SPAD nenyedari bahawa industri teksi adalah satu komponen yang penting dalam sistem pengangkutan awam darat Malaysia, terutamanya dalam menyambungkan perjalanan orang awam, dengan memberikan pilihan mobiliti untuk jarak perjalanan awal dan terakhir.
Namun begitu, secara hakikatnya industri teksi negara masih lagi dianggap sebagai pengangkutan awam yang masih berdepan dengan isu-isu yang membelenggunya sejak berdekad lamanya.
"Oleh kerana isu-isu berlarutan dan berserpihan itu, maka masalah-masalah tersebut tidak dapat diselesaikan badan-badan yang diberikan tanggungjawab bagi mengawal selia perkara-perkara berkaitan industri teksi," katanya.
Pelbagai usaha mentransformasikan pengangkutan awam telah dilakukan oleh SPAD sejak penubuhannya.
Ini bermula dengan program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) pada 2012 yang menyaksikan 76,000 pemandu teksi menerima baucar untuk tayar baru, Perlindungan Insurans Peribadi, pengecualian cukai jalan, subsidi tol sebanyak 50%, serta pengecualian cukai jualan dan eksais bagi pemilik lesen individu.
Ini diikuti dengan pengenalan kelas lesen Teksi 1Malaysia (TEKS1M) pada 2013 bagi menangani isu-isu berkaitan mutu pemandu, serta piawaian kenderaan dan operasi.
Tujuan utamanya adalah untuk menjalankan migrasi kesemua teksi bermeter yang mencapai akhir hayat perkhidmatan kepada jenama TEKS1M.
TEKS1M bermula dengan pengeluaran 1,000 lesen kepada pemandu individu yang layak. Mereka diberikan geran sebanyak RM5,000 dan pinjaman dengan kadar faedah 2% setahun bagi membeli kenderaan TEKS1M Proton Exora.
Kini terdapat 1,750 TEKS1M yang sedang berkhidmat di jalan raya yang dilesenkan kepada individu dan pengendali yang layak.
Pada 2015, Toyota Innova telah diperkenalkan bagi memberikan pilihan tambahan kenderaan bagi jenama TEKS1M. Bagi memenuhi permintaan, model TEKS1M yang lebih ekonomi akan diperkenalkan; ini termasuk model kereta sedan yang lebih kecil.
Mendengar rintihan pemandu teksi dan keperluan bagi menyemak semula kadar tambang teksi agar lebih bertepatan dengan kos operasi semasa, Suruhanjaya telah menjalankan sesi interaksi di seluruh negara bersama pemegang-pemegang kepentingan utama untuk mendapatkan input dan maklum balas dari orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan dalam industri teksi terhadap pendekatan kajian kadar tambang teksi.
Dengan itu, semakan semula tambang teksi telah diumumkan pada Mac 2015. Namun begitu, sehingga kini, hampir 40 peratus daripada aduan yang diterima oleh SPAD masih mengenai pemandu teksi yang tidak menggunakan meter.
Antara isu paling ketara adalah berkaitan sistem pajak yang sudah berdekad lamanya dijalankan oleh pengendali. Sistem ini perlu diperbaiki agar ia lebih telus dan paling utamanya, memberikan manfaat yang adil kepada kedua-dua pihak pemandu dan pengendali.
Dari segi pengagihan, terdapat 65,292 teksi di seluruh Semenanjung Malaysia, daripada itu 44,012 adalah teksi bermeter yang sebahagian besarnya dimiliki oleh syarikat (62%).
Sejumlah yang besar, iaitu 70% daripada teksi adalah tertumpu di Wilayah Tengah, dimana 95% daripada mereka beroperasi di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Syed Hamid berkat, memandangkan angka yang besar ini, persoalan mengenai ketiadaan teksi di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang ketika waktu puncak tidak seharusnya timbul. Tetapi sepertimana diketahui dan dialami oleh umum, keadaan ketiadaan teksi ini tetap berlaku.
"Justeru itu, perjalanan untuk mengubah industri teksi masih jauh lagi kerana terdapatnya pelbagai permasalahan dan keadaaan kompleks yang diselebungi isu-isu sosio ekonomi, kewangan dan pemikiran.
"Proses ini memerlukan kepimpinan dan kerjasama daripada semua pemegang kepentingan bagi menaikkan industri teksi. Langkah pertama yang perlu diambil adalah mewujudkan satu kaedah penyampaian yang lebih baik bagi memberikan manfaat kepada pengguna tetapi masih adil kepada pemandu, pengendali dan peserta baru di dalam pasaran.
"Untuk merungkai kesemuanya bukan satu perkara yang mudah, namun Suruhanjaya tetap bertekad dalam usaha untuk mencapai dan menaikkan taraf pengangkutan awam darat di Malaysia," katanya. - 28/10/2015 OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap