Pemandu teksi serah memorandum kepada SPAD

Kisah segelintir pemandu teksi yang tak pernah berpuashati dan suka menyalahkan pihak lain di atas kesengsaraan mereka adalah satu perkara biasa.

Manakala kisah pemimpin pembangkang menjadi batu api dan cuba menonjolkan diri sebagai hero atau pejuang kumpulan tertentu semakin menjadi satu KEBIASAAN. Apatah lagi kalau mereka sudah hilang modal atau populariti semakin pudar.

Terkini, pada Rabu, kebiasaan itu diteruskan oleh Ahli Parlimen Kelang, Charles Santiago yang membawa hampir 100 pemandu teksi berdemo sebelum menyerahkan memorandum di depan pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Kelana Jaya.

Santiago yang pernah dihalau keluar dari sidang dewan rakyat kerana mulut lancang dan biadap terhadap Speaker, cuba tunjuk hero kononnya dia prihatin dengan nasib pemandu teksi yang tergugat pendapatan kerana SPAD tak berbuat apa-apa untuk menyekat kegiatan GrabCar dan UBER.

GrabCar dan UBER ialah perkhidmatan teksi menggunakan aplikasi MyTeksi di mana pemandunya tidak mempunyai lesen dan permit pemandu teksi yang sah.

Sejak unit penguatkuasaan SPAD ditubuhkan tiga tahun lalu, penulis seringkali mengikuti operasi yang dibuat tidak kira masa, ada kalanya sampai lewat pagi.

Sepanjang pengalaman penulis, sepanjang tahun ini sahaja berpuluh operasi telah dijalankan oleh SPAD di sekitar Kuala Lumpur Selangor. Jika dicampur seluruh negara, jumlahnya beratus.

Pesalah-pesalah telah dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD). Selain mengenakan saman terhadap pemandu dan pemilik, SPAD turut menyita kenderaan terbabit.

Santiago turut merungut pasal GrabCar dan UBER (yang perkhidmatan mereka telahpun diharamkan), di samping mengadu mengenai kenaikan harga NGV dan GST dikenakan ke atas perkhidmatan selenggaraan yang di luar bidang kuasa SPAD.

Sepatutnya soal NGV kenalah bertanya kepada Petronas dan pasal GST kalau tak jelas, tanyalah kastam. Soal kebajikan pemandu teksi sepatutnya dirujuk kepada Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi,Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) atau seumpamanya. Ini tidak, semua kesalahan diletakkan kepada SPAD.
Seorang lelaki yang dibawa Santiago bernama S Balakrishnan yang mendakwa mewakili Persatuan Pemilik dan Pemandu Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor pula meminta SPAD mengeluarkan lebih banyak permit individu.

Padahal SPAD telah berulang kali mengatakan ia tidak lagi mengeluarkan permit individu kerana telah melebihi had.

Demo itu berakhir dengan aman setelah mereka menyerahkan memorandum kepada dua wakil SPAD, iaitu Azlan Shah Albakri dan Kamaruddin Khari. - 30/9/15.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap