Pemandu teksi tagih berita baik Bajet 2016

Pemandu-pemandu teksi menaruh harapan tinggi kepada Kerajaan supaya tidak mengetepikan kepentingan mereka dalam pembentangan Bajet pada 23 Oktober ini.

Sehubungan itu Pertubuhan Pemandu Dan Pengusaha Teksi/Limosin Dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) telah menghantar memorandum empat perkara kepada Perdana Menteri.

Empat perkara berkenaan ialah pengurangan atau penundaan kenaikan harga NGV, pengurangan harga tol di dalam bandar dan pengurangan GST untuk pengangkutan awam.

PETEKMA juga mahukan Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya mengharamkan aplikasi atas talian yang digunakan oleh UBER, GrabCar dan seumpamanya.

Memorandum berkenaan telah dihantar kepada Penasihat Sosial dan Kebudayaan Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, yang juga penasihat PETEKMA.

Pengerusi PETEKMA, Mohd Syahrir Abdul Aziz mengumumkan perkara berkenaan kepada wartawan selepas mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Syahrir berkata, kenaikan harga NGV lebih daripada 45 peratus tidak sekata dengan kenaikan tambang teksi yang tidak sampai 30 peratus.

Katanya periuk nasi pemandu-pemandu teksi juga terjejas dengan kenaikan tol di dalam bandar dan terdapat dua tol di dalam Lembah Kelang yang tidak memberikan potongan 50 peratus kepada  kenderaan kelas 4 potongan 50 peratus.

"Kami kena bayar penuh di tol SMART dan Besraya," katanya.

Syahrir berkata, nasib pemandu teksi ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

"Sudahlah kena tanggung kenaikan NGV dan tol, kita juga kena tanggung GST. Daripada alat ganti, bayar duit sewa, pinjaman bank, segala apa yang kita guna dalam teksi kena bayar GST.

"Itu semua meningkatkan kos operasi. Semua kita kena bayar, tetapi penumpang cuma bayar ikut meter dan kita tak tambah GST. Adakah ia adil untuk kita?

"Tiga elemen ini, tambah lagi orang lain potong jalan di mana mereka tak bayar insurans lebih, yuran proses, malah tak berlesen, tak payah pergi PUSPAKOM seperti perkhidmatan guna aplikasi seperti UBER, GrabCar.

"Ini tidak adil. Mereka menjalankan perniagaan seperti kami tetapi tidak berlesen, serta tidak membayar insurans, kos pemprosesan dan pemeriksaan PUSPAKOM," katanya.

Syahrir berkata, tidak seperti sesetengah pihak, PETEKMA tidak pernah menggunakan cara agresif untuk meminta bantuan kerajaan. Apa yang diminta ialah supaya kerajaan juga mendengar denyut nadi pemandu teksi.
"Kita minta wakil kerajaan, kalau boleh Perdana Menteri sendiri datang berjumpa dengan kita. Kita nak berunding. Kita tak nak buat bantahan jalanan.

"Dari dulu PETEKMA tak pernah buat mogok atau bantahan. Itu bukan cara kita. Kita nak berunding dengan kerajaan. Kita boleh give and take," kata pengerusi PETEKMA itu yang mempunyai 189 cawangan di seluruh negara.

Syahrir menjelaskan pihaknya bukan meminta kenaikan tambang sekali lagi tetapi pengurangan faktor lain yang mengakibatkan kenaikan kos operasi pemandu teksi.

"Kami bukan nak minta naikkan tambang sebab ia dah dinaikkan. Bajet 2016 nak keluar, jadi kami nak mintalah pengurangan NGV daripada yang ada sekarang atau ditangguhkan.

"Begitu juga dengan GST mungkin dari enam peratus dapat dikurangkan kepada tiga peratus untuk pengangkutan awam," jelasnya.

Mengenai perkhidmatan UBER yang telah diharamkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Syahrir berkata, SKMM boleh bertindak kerana ia melibatkan keselamatan.

"Kereta yang digunakan tidak ada insurans dan berisiko tinggi kerana sesiapa sahaja boleh memandunya. Kami mohon SKMM  keluarkan aplikasi atas talian itu.

"Secara global kita lihat macam-macam sudah berlaku seperti rompakan, rogol dan kemalangan tetapi penumpang tidak boleh membuat tuntutan.

"Di negara ini sekiranya berlaku kemalangan, salah laku atau jenayah, amat sukar menjejak pemandu yang menggunakan aplikasi berkenaan. Siapa nak dipersalahkan?"

Syahrir berkata, dalam isu UBER SPAD suddah memainkan peranan yang cukup bagus.

"Mereka sudah tangkap ramai pemandu UBER dan pemandu tak pakai meter. Tetapi kita kena faham kekangan SPAD. Berapa ramai penguatkuasa yang mereka ada berbanding dengan 35 ribu jumlah pemandu teksi di Lembah Kelang.

Sehubungan itu Syahrir berharap kerajaan memberikan perhatian serius terhadap isi kandungan memorandum yang telah diserahkan itu.

"Kita harap Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik untuk pemandu teksi dalam Bajet 2016," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap