Sambutan Positif bagi Kaji Selidik Pasaran Bersama bagi Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Antara Kuala Lumpur Dan Singapura





Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Malaysia (SPAD) dan Land Transport Authority, Singapura (LTA), telah menerima maklumbalas bagi kaji selidik pasaran (market sensing exercise) melalui kaedah Permintaan Maklumat (Request for Information - RFI) berkaitan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.

1. Sehingga jam 6 petang pada hari Jumaat, 16 Oktober 2015, 150 syarikat dan konsortium telah mendaftarkan minat untuk mengambil bahagian dalam Kaji Selidik Pasaran Bersama bagi Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura yang telah dilancarkan oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Malaysia (SPAD) dan Land Transport Authority, Singapura (LTA) baru-baru ini. Pendaftaran telah diterima daripada syarikat dan konsortium daripada rangkaian nilai industri HSR yang berpusat di Malaysia, Singapura, Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah, dan Amerika Utara.

2. Syarikat-syarikat yang belum berkesempatan mendaftarkan minat bagi menyertai kaji selidik pasaran ini masih berpeluang berbuat demikian. Walau bagaimanapun, semua maklum balas kaji selidik pasaran perlu dikemukakan kepada pihak SPAD dan LTA sebelum jam 12 tengahari pada 18 November 2015.

3. Dalam satu kenyataan bersama, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, En Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Eksekutif LTA, En Chew Men Leong berkata: “Kami teruja dengan sambutan yang telah diberikan kepada kaji selidik bersama ini. 

Kami mengalu-alukan maklumbalas serta pandangan daripada pasaran pada bulan November kelak. Maklumbalas ini penting bagi membolehkan kami membentuk model komersial yang akan digunapakai, dan memastikan projek ini dapat dilancarkan dengan jayanya.”

4. Proses RFI ini dijangka tamat pada akhir tahun ini.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Radha Warrier
Pengurus Besar, Komunikasi
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
Tel: +603 2726 7000
Faks: +607 2726 7300
E-mel: communications@spad.gov.my


Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap