SPAD pakai treler angkut teksi!

Sesudah beratus kali operasi dilakukan dan masih ramai pemandu teksi yang degil tak mahu gunakan meter, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kali ini mengambil langkah drastik menggunakan treler untuk mengangkut teksi yang disita "on-the-spot".

Dalam satu operasi khas merangkumi kawasan Subang sampai ke Sungai Buloh dan Puchong, unit penguatkuasaan SPAD yang diketuai oleh Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad pada Rabu, 30 pemandu diberkas kerana melakukan pelbagai kesalahan.

"Kesalahan paling banyak sekali ialah pemandu teksi tak guna meter di mana kita dapati 27 melakukan kesalahan itu.

"Dua orang tidak ada kad pemandu dan satu lagi kad pemandunya mati dan tamat tempoh," kata Che Hasni kepada pemberita selepas tamat operasi.

Che Hasni berkata operasi berkenaan dianggap kejayaan 100 peratus.

"Kita hantar 30 pasukan penyamaran untuk membuat operasi. Kiranya kita dapat 100% mengena.

"Kita sudah buat operasi sebegini kerapkali sebelum ini. Namun kita masih menerima maklumat-maklumat dari orang awam yang mengadu masih ramai pemandu teksi tak guna meter.

"Jadi hari ini kita memperluaskan kawasan operasi kita merangkumi kawasan Subang sampai ke Sungai Buloh dan Puchong.

"Operasi kita buat secara bebas tanpa babitkan agensi lain. Hanya SPAD, melibatkan 61 anggota.
"Kita akan teruskan operasi ini dari semasa ke semasa sehinggalah pemandu teksi  sedar perbuatan tak pakai meter ini adalah salah," katanya.

Menurut Che Hasni SPAD akan mengambil tindakan-tindakan pendakwaan ke atas pemandu teksi yang kenderaan mereka disita setelah kertas siasatan disiapkan.

"Selain tindakan pendakwaan kita juga akan ambil tindakan pentadbiran untuk menggantung kad-kad pemandu.
Katanya, jawatankuasa pematuhan yang akan menentukan tempoh penggantungan, biasanya peringkat pertama dalam tiga bulan.

Menurut  Che Hasni lagi, termasuk operasi  ini, SPAD telah menyita 137 teksi dalam masa dua bulan.
Katanya syarikat-syarikat teksi juga akan dipertanggungjawabkan kerana mereka sepatutnya memantau dan mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu mereka.

"Apabila kita sita, pemandu-pemandu tidak dibenar mengeluarkan teksi mereka. Hanya syarikat sahaja yang boleh keluarkan. Tuan empunya teksi kena bayar amaun yang ditetapkan untuk keluarkan teksi mereka.
"SPAD juga akan memikirkan tindakan-tindakan lebih drastik sekiranya pemandu teksi masih terus menerus melakukan perbuatan yang melanggari syarat-syarat permit.

Kes teksi disita akan didakwa di bawah seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yabg boleh membawa kepada denda tak kurang dari RM1ribu, tidak melebihi RM500 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.










Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap