Kami bukan alien!... Kami rakyat Malaysia – keluhan pemandu teksi

Amran Jan, Pengerusi Badan Bertindak
Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) 
Sebelum ini Persatuan Transformasi Teksi Malaysia (PERSIM) dan Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) seringkali tidak sebulu dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Apa sahaja yang dilakukan oleh SPAD seringkali tidak kena pada mata mereka.
Tetapi apabila kabinet memutuskan untuk menanggguhkan kenaikan kadar tambang baharu teksi, kedua-dua organisasi ini telah bersatu hati menyuarakan sokongan kepada suruhanjaya berkenaan setelah menyedari tidak ada pihak yang mengambilberat masalah mereka.
Pagi Ahad mereka mengadakan sidang media di Kuala Lumpur untuk menyuarkan rasa tidak puashati dengan keputusan kabinet menangguhkan kenaikan kadar tambang itu dan mempertahankan SPAD.

Kira-kira 80 pemandu teksi berdaftar dari seluruh Kuala Lumpur dan Selangor hadir memberi sokongan pada sidang media itu.
“Saya berpendapat sebenarnya kadar kenaikan tambang ini perlu dikekalkan. Hampir enam tahun kami terpaksa tanggung kos peningkatan harga barang, kos operasi, penyelenggaran dan sara hidup pada kadar tahun 2009 sedangkan kalau kita tanya balik pada pekerja-pekerja rakyat Malaysia lain di luar situ – berapa peratus atau berapa kali mereka naik gaji atau pendapatan meningkat sejak 2009 berbanding dengan kami?
“Mereka yang membantah kata kenaikan tambang teksi membebankan rakyat. Kami pemandu teksi ini bukan rakyat Malaysia ke? Kami juga perlukan pembelaan,” kata Pengerusi PERSIM, Kamaruddin Mohd Hussin.
Menurutnya kadar kenaikan itu sepatutnya diumumkan pada suku pertama 2014 tetapi ditangguh tiga kali. Pertama kerana tragedi MH370 dan selepas itu tragedi MH17 dan kemudian ditangguh lagi kerana musibah banjir.
Kamaruddin berkata dia pelik kerana sebelum ini tidak ada NGO, mahupun ahli politik yang mempedulikan keluh kesah pemandu teksi, tetapi apabila SPAD mengumumkan kenaikan tambang teksi pada 19 Mac lalu, ramai yang tiba-tiba kecoh dan mahu muncul seperti hero rakyat.
“Sebelum ini SPAD telah batalkan bayaran surcaj RM12 di mana ia membebankan pemandu teksi. Tetapi tidak ada seorang pun perjuangkan kami termasuk ahli politik. Padahal kami perlukan surjac ini untuk menampung kos bawa penumpang ke lapangan terbang.. Ia merugikan kami. RM12 ini kami guna untuk beli barang dan secara tak langsung ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Pada 7 April 2014 di ibupejabat SPAD, PERSIM sendiri pernah bagi kertas kerja kenaikan kadar tambang di mana ia tidaklah begitu tinggi. Ringkas, mudah dan dipercayai tidak bebankan rakyat dan membantu pemandu teksi. Kami minta tak banyak, tapi insyaalah dapat tampung pemansuhan surcaj RM12 itu,” jelasnya.
Kamaruddin berkata, dia pelik apabila ada pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan pengumuman kenaikan tambang oleh SPAD kerana menurutnya kadar kenaikan tambang yang diumumkan itu telah ditandatangi sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
“Pihak-pihak yang selama ini sibuk bantah kenaikan kadar teksi – saya nak tanya kepada mereka - adakah mereka ini menentang atau ingin memaklumkan bahawa Perdana Menteri tidak bijak?
“Kalau kita rujuk balik peraturan pengangkutan awam darat – kenaikan kadar tambang baru ini telah ditandatangani sendiri oleh PM sendiri. Adakah mereka yang membantah ini mengatakan PM tidak bijak?”
Kamaruddin juga pelik apabila ada sesetengah pihak mengatakan kenaikan tambang teksi akan menambah beban rakyat yang terkesan dengan GST walhal Perdana Menteri sudah berulangkali mengatakan GST tidak akan membebankan rakyat.
“Adakah mereka yang mengatakan kenaikan kadar ini tak perlu kerana bebankan rakyat setelah pengumuman GST? Adakah mereka nak beritahu bahawa perlaksanaan GST bebankan rakyat? Padahal kerajaan sudah cakap GST tak akan bebankan rakyat!”
Katanya, jika kenaikan itu berlaku pun, pemandu teksi tidak akan dapat menikmati faedahnya 100 peratus kerana hampir 75-80 peratus akan ditiriskan untuk membayar syarikat sewa, insurans dan PUSPAKOM.
“Kita tak akan dapat nikmati 100 peratus faedah dari kenaikan ini. Tetapi kami yakin dengan kenaikan kadar baru ini, kami boleh berikan perkhidmatan yang memuaskan.
“Kalau kerajaan mahu kami berikan perkhidmatan yang bagus, pendapatan kami kenalah dilindungi. Insyalalah kami akan naik taraf mutu perkhidmatan negara. Tetapi SPAD dan kerajaan berilah hak kami. Kami rayu sangat,” katanya.
Sementara itu Pengerusi BBPTB, Amran Jan, berkata, seluruh pemandu teksi berdaftar negara menyokong kenaikan tambang teksi baru yang diumumkan oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.
“Ia relevan dan boleh membantu meningkatkan taraf hidup pemandu teksi keseluruhannya. Kenaikan ini adalah bersesuaian dan kami sudah tunggu enam tahun dan tiga kali tertangguh kerana masalah yang dihadapi negara. Selama enam tahun itu kami menanggung kos selenggara antara 30-40 peratus.
“Daripada menggunakan Iswara yang berharga RM27 ribu, dan transformasi kepada BLM berharga RM36 ribu dan sekarang guna Exora yang harganya RM60 ribu – peningkatan kos selenggara ditanggung sendiri oleh pemandu teksi sekali dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kami sokong kadar yang diumum SPAD dalam linkungan 40 peratus itu. Kamu juga secara tegas menyanggah apa sahaja bantahan daripada orang awam, NGO, Ahli Politik dan Menteri Kabinet yang mahu kenaikan ini ditangguhkan.
“Bagi kita keputusan penangguhan itu tidak selari dengan apa yang pemandu teksi hadapi. Lihatlah prestasi industri ini sendiri. Orang tanya apabila kadar naik, adakah prestasi akan naik?. Memanglah ada. Tapi tak terus serta merta mantap, tapi bolehlah perlahan-lahan akan meningkat,” katanya.
Amran juga menyuarakan rasa kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi yang mendakwa kononnya tidak ada perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan atau kerajaan sebelum kenaikan tambang diumumkan.
“Itu tidak logik sebab NKRA di bawah Kementerian Pengangkutan. Jadi secara langsung atau tidak langsung SPAD akan memberitahu kementerian berkaitan kajian tambang teksi sebab ia membabitkan prestasi teksi itu sendiri. Saya tak rasa alasan Kaprawi itu alasan yang kuat. Kita boleh sangkal benda itu.
“Kita pernah buat pertemuan dengan Kaprawi satu masa dulu di pejabatnya dan luahkan rasa tidak puashati pemandu-pemandu teksi. Dia bagi jaminan akan bawa kita jumpa dengan SPAD pada masa itu tetapi sampai sekarang tak ada apa apa,” katanya.
Amran berkata, dia juga tidak berpuashati dengan bantahan daripada pelbagai pihak kononnya jika tambang teksi dinaikkan rakyat akan terbeban dengan kos sara hidup
“Di segi penggunaan teksi, jumlah kami tidak ramai, baru 91,000 ribu lebih sehari berbanding dengan penggunaan bas, 400 ribu sehari. Permintaan untuk teksi adalah dari golongan tertentu.
“Ada 79 ribu teksi berpermit di seluruh Malaysia. Ini terpencil. Perbincangan dan cara berhemah boleh dibuat. Tak payahlah buat kenyataan membandingkan kenaikan kadar tambang teksi dengan beban rakyat,” katanya.
Amran berkata pihaknya menyokong kenyataan pengerusi SPAD bahawa kenaikan ini tidak ada kena mengena dengan GST.
“Orang awam atau pengguna harus fahami. Begitu juga ahli politik dan NGO. Pemandu teksi juga terkesan dengan GST. Kita pemandu teksi juga adalah rakyat dan bukan Alien yang turun dari langit.
“Kita juga rasa tempias dengan GST. Contoh, sewa harian syarikat kena tambah enam peratus. Kita bayar GST hari-hari untuk teksi. Servis PUSPAKOM pun kita kena bayar GST. Tak adillah mereka mereka nak korbankan kenaikan kadar tambang antara 30-40 peratus untuk kami itu untuk 26 juta rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Menurut Amran, majoriti pemandu teksi berpendapatan lebih kurang RM1,500 sebulan. Walaupun ada yang sudah memakai TEKS1M, pendapatan tidak berubah. Katanya lagi ada antara mereka yang tergolong dalam golongan ASNAF dan kehidupan tidak seperti yang orang luar gambarkan.
“Saya mintalah orang NGO yang bagi pendapat yang tidak menepati citarasa semua rakyat Malaysia supaya lebih prihatin dengan nasib pemandu-pemandu teksi berdaftar. Sehingga hari ini tak ada orang yang mempertahankan kami atau menunjukkan dia adalah juara rakyat. Tapi bila peningkatan kadar tambang diumumkan, bertubi-tubi orang komen kata kita membebankan rakyat. Itu tak adil.
Katanya ketika pendapatan pemandu teksi dijejaskan oleh syarikat UBER yang beroperasi secara haram, tidak ada seorang wakil rakyat atau Menteri pun mahu tampil menjadi juga dan membantu mereka membawa perkara itu ke kabinet.
“Kali ini banyak pula yang datang nak jadi juara rakyat. Saya rasa tak adil langsung. Seolah-oleh pemandu teksi terus jadi kambing hitam kepada syarikat kapitalis dan situasi yang ada. Benda ini siapa nak perjuangkan?
“Kita juga rakyat Malaysia walaupun kita kecil. Kita juga ada kebajikan yang perlu dipertahankan. Kita punya servis hanya pada orang yang perlukan servis sahaja bukan terkesan pada semua orang.
“Saya nak cakap kepada orang yang buat kenyataan-kenyataan negatif supaya lebih mengambil tahu apa yang disuarakan oleh pemandu teksi. Dah 50 tahun lebih, tak ada menteri nak perjuangkan SOCSO untuk kami. UBER pula yang langgar semua undang-undang, tak ada Menteri pun nak pertahankan kami.
“Kita ada sebab kukuh untuk pertahankan kenaikan tambang ini. Kita sudahpun menukar kadar tambang baru dekat meter dan bayar PUSPAKOM antara RM100-RM161. Sekiranya benda ini kabinet tangguh – siapa nak tukar balik meter dan kepada siapa kami boleh buat tuntutan?
“Kita sokong SPAD supaya kenaikan ini diteruskan. Kami nak jalan terus. Jika Pengerusi SPAD rasa tertekan dengan situasi ini kita akan berdiri teguh di belakangnya.” – 22/3/15.- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL







Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

Ramai graduan sertai penguatkuasaan SPAD