PETEKMA mohon PM timbang semula penangguhan kenaikan tambang teksi.

Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya mempertimbangkan semula keputusan kabinet menangguhkan kenaikan tambang teksi.


Presidennya, Mohd Syahrir Abdul Aziz berkata, keputusan penangguhan itu memberikan beban kepada kehidupan pemandu teksi yang sangat memerlukan kenaikan itu bagi menanggung pelbagai kos, antaranya kos penyelenggaraan kenderaan, bahan api dan sara hidup.

Katanya pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) pada 1 April nanti akan menambahkan beban kepada pemandu teksi jika kenaikan tambang ditangguhkan kerana mereka terpaksa membayar GST kepada syarikat, PUSPAKOM dan kedai-kedai yang servis.

“Jika GST dilaksanakan, semua barang seperti tayar, minyak hitam dan servis kereta sudah pasti akan naik. Contohnya, harga minyak hitam sudah naik daripada RM80 kepada RM130.

“Kerajaan perlu memahami minyak petrol yang digunakan juga bila-bila masa boleh naik dan turun. Manakala keuntungan seharian kami antara RM50 hingga RM80 banyak dihabiskan untuk membayar kos sewa kereta kepada syarikat dan penyelenggaraan teksi setiap bulan.

“Kami sebagai pemandu teksi bekerja bukan mencari keuntungan tetapi hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibupejabat PETEKMA di Kuala Lumpur, pada Isnin.

“Kerajaan beri kami gelaran sebagai Duta Kecil yang turut menyumbang kepada pembangunan negara.Tidak semua rakyat Malaysia akan menderita jika kadar tambang teksi dinaikkan kerana mereka perlu faham, kami hanya menjalankan pekerjaan dari pintu ke pintu,” katanya lagi.

Menurut Syahrir, PENTEKMA mempunyai 25 ribu ahli berdaftar di seluruh negara dan daripada jumlah itu tiga ribu sudahpun menukar kepada meter baharu sebaik Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan kenaikan tambang pada 19 Mac lalu.

"Pengangkutan darat awam yang lain seperti bas dan LRT kalau kerajaan hendak tangguh, tangguhlah, tetapi tidak kepada teksi.

“Sudah enam tahun kami menunggu. Selama itu pendapatan orang lain meningkat, tetapi pemandu teksi masih ditakuk lama. Kita harap kerajaan faham dengan nasib pemandu teksi yang mencari rezeki secara kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.

Sehubungan itu, Syahrir berharap Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar dapat mewakili pemandu teksi untuk merayu kerajaan menimbangkan semula penangguhan itu.

“Kami tak salahkan SPAD yang banyak menolong pemandu teksi selama ini tetapi kami harap sangat Pengerusi SPAD boleh mohon kepada Perdana Menteri supaya janganlah tangguhkan kenaikan ini.

“Saya juga minta pihak-pihak tertentu di luar sana supaya tidak mempolitikkan isu kenaikan tambang teksi ini demi political mileage mereka. Kita ini bercakap tentang periuk nasi pemandu teksi.”

Syahrir berkata, PETEKMA tidak mahu dilihat mahupun mempunyai niat menentang keputusan kerajaan, malah bersedia untuk bersetuju dengan penangguhan kenaikan tambang teksi sekiranya kerajaan menimbangkan beberapa perkara.

“Jika Kerajaan bertegas untuk menangguhkan kadar tambang teksi, mereka perlu memberi subsidi ke atas kos penyelenggaraan teksi dan kos bahan api seperti petrol dan gas,” katanya.

Diminta mengulas cadangan Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) untuk melancarkan mogok di seluruh Lembah Klang sekiranya kadar tambang baharu yang diumum SPAD ditangguhkan oleh kabinet, Syahrir berkata PETEKMA tidak akan menyertainya.

Katanya, PETEKMA tidak akan menggunakan kaedah itu untuk mendesak kerajaan supaya menarik balik penangguhan kadar kenaikan tambang baharu kerana masih percaya dengan proses perundingan yang  berhemah.

“PETEKMA tidak akan terlibat dalam sebarang mogok membantah penangguhan kadar kenaikan harga baru tambang pengangkutan awam itu. Malah sekiranya jika ada ahliterlibat, kami tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas seperti memecat keahlian. 

 "Bukan kaedah kita hendak melancarkan mogok. Kita lebih minat berunding dan berbincang dengan kerajaan,” katanya lagi. – 23/3/15.


Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap