SPAD gesa kerajaan salur peruntukan RM400 juta segera kepada KTMB untuk baiki landasan Gemas-Gua Musang

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa kerajaan segera menyalurkan peruntukan RM400 juta kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk memulakan kerja-kerja membaikpulih landasan keretapi laluan Gemas-Gua Musang yang rosak teruk..

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata peruntukan itu mesti disegerakan kerana nyawa dan keselamatan penumpang menjadi taruhan. Katanya sekiranya peruntukan itu lambat diperolehi, KTMB tidak dapat melakukan kerja membaik pulih dengan serta merta dan SPAD tidak ada pilihan selain menutup landasan berkenaan selama dua tahun.
“Oleh kerana keselamatan rakyat diutamakan, SPAD telah membantu KTMB untuk mendapatkan peruntukan RM400 juta daripada Kerajaan untuk tujuan membaikpulih landasan sektor tersebut. Ia telahpun diluluskan oleh EPU.

“Kita tahu Kerajaan menyedari bahawa KTMB adalah sebuah syarikat yang kos penyelenggaraan dan operasinya lebih tinggi daripada pendapatan.  Maka mereka menghadapi masalah mendapatkan sumber sendiri untuk melaksanakan kerja-kerja baik-pulih secara berterusan. Jadi KTMB perlu bergantung kepada peruntukan kerajaan,” katanya.

Hamid berkata demikian pada sidang media di ibupejabat SPAD, Jumaat untuk mengumumkan penangguhan  penutupan landasan KTM sektor Gemas-Gua Musang setelah menerima rayuan dari KTMB.

Pada 24 Jun SPAD telah mengarahkan supaya landasan keretapi Gemas-Gua Musang ditutup mulai 27 Jun (Khamis) setelah mendapati keadaan landasan berkenaan agak kritikal dan memerlukan penambahbaikan segera.

Bagaimanapun pada 25 Jun KTMB telah mengemukakan rayuan kepada SPAD untuk menangguhkan penutupan landasan berkenaan sehingga 15 ogos.
 
“Dalam hal ini ada elemen kesegeraan dan kecemasan dan adalah penting untuk kita bertindak segera. Peruntukan itu harus disalurkan cepat kerana jika menjelang 15 Ogos kerja-kerja membaikpulih tidak dimulakan oleh KTMB, maka SPAD terpaksa mengarahkan landasan itu ditutup selama dua tahun.

“Kita harap kerajaan dapat mengetepikan karenah birokasi kerana ia akan melambatkan saluran peruntukan. Biasanya kalau EPU sudah lulus, peruntukan itu akan diberi kepada Kementerian Pengangkutan yang merupakan agensi pelaksana. Kementerian kemudian akan menyalurkan peruntukan itu kepada KTMB,” katanya.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal serta Ketua Pegawai Pembangunan, Azmi Aziz.

Menurut Hamid antara punca kerosakan landasan Gemas-Gua Musang mungkin disebabkan  penyelenggaraaan yang tidak memuaskan dan tidak kerap kerana kekangan kewangan.

Syed Hamid dan pegawai-pegawai kanan SPAD sendiri telah turun padang baru-baru ini untuk meninjau keadaan landasan berkenaan dan setelah mendapati ianya memang tidak selamat dan berbahaya, mereka mengambil keputusan menutupnya. Bagaimanapun KTMB telah membuat rayuan supaya penutupan itu ditangguhkan dan bersedia mematuhi tujuh syarat yang ditetapkan oleh SPAD,

“Pada mulanya kami berat hati untuk memenuhi permintaan KTMB. Kami dalam dilema antara memberi perkhidmatan kepada orangramai dengan menjamin keselamatan mereka. Kita tak mahu kompromi tentang keselamatan. Kami mahu menutupnya kerana mahu mengurangkan risiko.

“Bagaimanapun kita sudah terima rayuan KTMB dan menangguhkan penutupan kepada 15 Ogos tertakluk kepada beberapa syarat. Jika KTMB melanggar syarat dan berlaku apa-apa, mereka kena pikul tanggungjawab.”

Syed Hamid berkata, selain dikehendaki  mematuhi syarat yang ditetapkan, KTMB mesti memberitahu orangramai kedudukan sebenar, serta langkah-langkah keselamatan yang telah diambilnya. Dengan cara ini orangramai boleh membuat keputusan samada mahu mengambil risiko atau tidak.

Menurut Syed Hamid sejak 2012 telah berlaku 35 insiden keretapi tergelincir tetapi tiada kehilangan nyawa atau kecederaan berlaku. Antara punca kejadian ialah curun runtuh, pemendapan dan kayu landasan rosak.

Katanya KTMB juga diarahkan menyerahkan laporan kepada SPAD setiap minggu mengenai progress kerja membaikpulih landasan berkenaan. Katanya SPAD juga akan membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan segala peraturan dipatuhi.- 27/6/14.










Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap