Ops Hippo SPAD tahan 25 lori bawa lebih muatan.

Awal pagi Jumaat, sementara peminat bolasepak di seluruh negara khusyuk menonton siaran langsung perlawanan pembukaan Piala Dunia, sekumpulan pemandu lori juga sibuk beroperasi di sekitar Puchong dengan membawa muatan lebih daripada had yang dibenarkan.

Tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya tersungkur ke tanah jua! Pemandu-pemandu lori berkenaan tidak menyedari ketika itu unit penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang menjalankan Ops Hippo sekitar Puchong.

Lantas 25 lori ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan. Daripada jumlah itu 12 lori didapati membawa lebih muatan, 12 mengubahsuai panel sisi dan sebuah kerana melakukan halangan jalanraya.

Di badan lori jelas tertera berat yang dibenarkan adalah 30 tan, tetapi muatan yang dibawa melebihi antara 100 hingga 160 peratus!

Ops Hippo itu diketuai oleh Pengurus Besar Penguatkuasaan SPAD, Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad yang dibantu oleh lapan pegawai dan 27 anggota. Ia bermula jam 4 pagi dan berakhir pada 12 tenghari.

Menurut Che Hasni Ops Hippo dijalankan setelah SPAD mendapat banyak aduan dari penduduk Puchong.  Katanya, penduduk mengadu banyak jalan rosak disebabkan kekerapan lori membawa muatan berlebihan.

“Sebenarnya kami sudah melakukan banyak Ops Hippo di kawasan ini tetapi nampaknya golongan ini tak serik-serik.  Sejak unit ini memulakan operasi pada Jun 2011 hingga hari ini kami telah membuat 4820 tangkapan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, pada tahun ini sahaja kita telah menangkap 1,394 lori,” katanya.

Menurut Che Hasni, SPAD telah mengenalpasti antara kawasan “hot-spot” kegiatan berkenaan ialah di Rawang, Cheras dan Puchong. Kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah membawa muatan berlebihan dan kegagalan memenuhi ciri keselamatan.

Che Hasni berkata, syarikat pengendali lori-lori terbabit akan didakwa dibawah Seksyen 57 Akta Pengangkuan Awam Darat yang jika didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM1ribu dan tidak lebih RM500 ribu atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. – 14/6/14. 












Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap