Perkhidmatan rel bandar semakin popular

Nampaknya segala usaha Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan mengembangkan rangkaian pengangkutan awam darat di Lembah Kelang telah menerima sambutan positif daripada rakyat.

Jumlah penumpang harian bagi pengangkutan rel dan bas di Lembah Kelang pada tahun lalu berjumlah 1,206,111, meningkat 3.7 peratus daripada tahun 2016, iaitu 1,162,717.

Jumlah penumpang harian bagi pengangkutan rel bandar pada tahun lalu mencatatkan peningkatan 7.5 peratus, iaitu 694,057 berbanding 645,601 pada 2016. Faktor utama peningkatan ini ialah pembukaan jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang pada 17 Julai tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah mengumumkan demikian pada majlis taklimat kepada media di Kuala Lumpur, Selasa.

Beliau berkata, jumlah penumpang harian perkhidmatan KTM Komuter bagaimanapun menurun 14.5 peratus disebabkan kerja-kerja pembaikpulihan trek berganda Lembah Klang (KVDT). Begitu juga jumlah penumpang harian monorel yang turun sebanyak 23.5 peratus kerana langkah pengurangan gerabak.

Katanya jumlah penumpang harian bas menurun satu peratus disebabkan ramai pengguna beralih kepada penggunaan MRT dan perkhidmatan e-hailing.

Mohd Azharuddin berkata jumlah penguna perkhidmatan rel bandar akan meningkat berlipat ganda dalam masa lima tahun akan datang apabila MRT Line 2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya siap sepenuhnya.

"Setakat ini kerja-kerja sudah sampai ke tahap 20 peratus dan ia akan beroperasi sepenuhnya pada 2022. Jajaran ini membabitkan 35 stesen dan 11 daripadanya mempunyai kesalinghubungan dengan stesen tren lain, termasuk High Speed Rail (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di stesen MRT Bandar Malaysia.

"Menjelang 2021, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan LRT 3 Bandar Utama-Kelang, yang pembinaannya bermula pertengahan tahun lalu. LRT 3 akan mempunyai 26 stesen.

"Selain itu juga akan dibina Terminal Komuter KTM yang menghubungkan penumpang dari KL Sentral ke Terminal Subang Skypark di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang perjalanannya memakan masa cuma 28 minit. Terminal Subang Skypark akan dibuka kepada awam pada suku kedua tahun ini," katanya.

Mohd Azharuddin turut mengumumkan perkhidmatan BRT Sunway yang meliputi tujuh stesen telah mencatatkan peningkatan dalam jumlah penumpang harian. Ia meningkat 34.6 peratus dari 5,382 kepada 7,244 tahun lalu.

Manakala penumpang harian perkhidmatan ETS meningkat 14.2 peratus daripada 17,367 pada 2016 kepada 19,835 pada 2017. - 6/3/2018






Comments

Popular posts from this blog

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

Kenyataan SPAD mengenai insiden agihan Kad Bantuan Teksi 1 Malaysia