Akta e-hailing diwarta suku kedua 2018

Dua akta bagi mengesahkan perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar akan diwartakan pada suku kedua tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia membabitkan Akta Pengangkutan Awam Darat 2017 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 2017 yang telah diluluskan di Parlimen pada Julai tahun lepas.
Katanya buat masa ini pihaknya perlu menyelaraskan beberapa perkara membabitkan tambang, pemeriksaan PUSPAKOM dan pembahagian kuasa antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum e-hailing dapat dilaksanakan sepenuhnya.
"Selepas mengkaji pelbagai aspek dan melakukan penyelarasan, kedua-dua akta itu akan diwartakan secara rasmi pada suku kedua tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran kelulusan bagi permit teksi individu kepada pemandu teksi di Kuala Lumpur Selasa.
Turut hadir Pemangku Pengerusi SPAD Tan Sri Isa Samad.
Terdahulu, seramai 300 pemandu teksi menerima lesen individu daripada SPAD melalui Program Transformasi Industri Teksi (TITP).
Nancy berkata daripada jumlah itu, 74 daripadanya turut menerima geran tunai kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membeli kenderaan baharu.
"Geran ini merupakan sebahagian daripada RM150juta yang telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk pemegang lesen yang layak.
"Sejak TITP dilaksanakan, seramai 2,493 pemandu teksi telah menerima lesen individu dan sebanyak 82 geran tunai kerajaan bernilai RM410 ribu telah diberikan kepada pemandu teksi yang layak," katanya.- 20/3/2018

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap