Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-henti di Kuala Lumpur

PENYUSUNAN SEMULA RANGKAIAN BAS HENTI-HENTI BAKAL MENINGKATKAN LIPUTAN DAN KEBOLEHPERCAYAAN PERKHIDMATAN BAS DI GREATER KUALA LUMPUR DAN LEMBAH KLANG


8 koridor, 241 laluan, 2000 bas untuk menambah baik pengangkutan awam darat Kuala Lumpur, 30 November 2015 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam usaha menaik taraf industri pengangkutan awam darat di Malaysia, akan melaksanakan Bus Network Revamp (BNR) atau penyusunan semula rangkaian perkhidmatan bas henti-henti di Greater Kuala Lumpur mulai 1 Disember 2015.

Di bawah penyusunan semula rangkaian bas ini, koridor bas sedia ada akan disusun semula menjadi koridor yang lebih kecil berdasarkan jalan utama yang menghubungkan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Rangkaian bas ini dibahagikan kepada 8 koridor iaitu Koridor Jalan Ipoh, Koridor Jalan Pahang, Koridor Ampang, Koridor Cheras, Koridor Sg. Besi, Koridor Klang Lama, Koridor Lebuhraya Persekutuan dan Koridor Damansara.

Penambahbaikan rangkaian bas ini akan mengurangkan masa menunggu bagi penumpang semasa waktu puncak dan juga akan melihat integrasi yang lebih efisien dengan mod pengangkutan awam lain bagi menyediakan mod perjalanan awal dan akhir kepada komuter.

 Ia juga direka untuk mengurangkan ketidakseimbangan perkhidmatan bas di Greater Kuala Lumpur dan pada masa yang sama membantu industri bas untuk kekal mampan dengan mengurangkan bilangan pengusaha bas daripada bersaing di laluan terpilih sahaja.

 Semua bas dalam rangkaian yang disusun semula ini juga akan dilengkapi secara berperingkat dengan Unit Onboard (OBU) sebagai peranti pengesanan GPS yang akan dipantau melalui Sistem Hab Pemantauan Prestasi (PMHS) yang diselia oleh Pusat Kawalan SPAD, bagi memastikan kebolehpercayaan dan kecekapan perkhidmatan. Nombor laluan dan maklumat jadual bas akan dipaparkan dalam semua bas dan di panel maklumat yang terletak di perhentian bas yang terpilih.


 Di bawah langkah ini, 3,000 panel maklumat bas telah dijadualkan untuk dipaparkan di perhentian bas di sekitar Greater Kuala Lumpur pada tahun 2016. Sebanyak 3,700 panel maklumat lagi akan dipaparkan secara berperingkat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan pada 2017. "Penyusunan semula rangkaian bas ini akan menawarkan 241 laluan dengan 2,000 unit bas bagi menampung rangkaian yang lebih luas untuk 638,000 penumpang setiap hari.

 BNR juga akan melihat kapasiti bas meningkat di laluan yang mempunyai lebih penumpang dan pengenalan laluan baharu di kawasan yang kurang mempunyai perkhidmatan bas. Di bawah penyusunan semula rangkaian bas ini, jarak keseluruhan perkhidmatan bas akat meningkat kepada 9,202km, daripada daripada 7,643km sebelum ini.

 Ini merupakan salah satu perubahan yang paling transformatif dalam rangkaian bas di Greater Kuala Lumpur dalam usaha kami untuk meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan bas dan membolehkan rakyat untuk menikmati akses pengangkutan awam yang lebih kerap dan lebih luas, "kata Tan Sri Dato Seri Dr. Syed Hamid Albar, Pengerusi, SPAD.

 MENERAJUI TRANSFORMASI PENGANGKUTAN AWAM DARAT “BNR adalah salah satu inisiatif utama di bawah NKRA (UPT) bagi mempertingkatkan mutu pengangkutan awam bandar. Dengan perlaksanaan BNR,

 128 laluan utama di kawasan yang mempunyai permintaan perkhidmatan yang tinggi akan menikmati kekerapan bas dari 5-30 minit pada waktu puncak, bergantung kepada keadaan lalu lintas. Manakala, 98 laluan tempatan akan menyediakan mod perjalanan awal dan akhir kepada penumpang bagi perjalanan jarak dekat.

 Selain daripada itu, 16 Bas Ekspres Transit (BET) akan menyediakan perkhidmatan ekspres ke pusat bandar pada waktu puncak melalui lebuhraya. Laluan bas yang telah direka semula ini akan juga dilengkapi dengan sistem penomboran bas yang diselaraskan berdasarkan koridor bertujuan untuk memudahkan perjalanan penumpang.

 Bagi melengkapkan lagi penyusunan semula ini, perkhidmatan bas sebagai mod pengantara ke stesen rel dan terminal akan dipertingkatkan, " kata Mohd Azharuddin Mat Sah, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD. Untuk melaksanakan proses penyusunan semula ini, pihak SPAD telah menjalankan beberapa siri tinjauan dan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk pengusaha pengusaha bas untuk menentukan bilangan operator untuk setiap laluan yang terlibat.

 Proses ini juga telah mengambil kira rangkaian bas, kebolehpercayaan perkhidmatan bas, kawasan tumpuan pusat perniagaan dan perumahan yang sedia ada, dan bilangan penumpang bagi merekabentuk laluan bas yang lebih luas dengan mengurangkan pertindihan perkhidmatan.

 Sesi perjumpaan bersama orang awam juga telah diadakan sejak 23 November 2015 di semua 8 koridor. Satu siri pengumuman perkhidmatan awam juga akan dilaksanakan melalui stesen radio utama untuk meningkatkan kesedaran selanjutnya.

 Untuk maklumat lanjut tentang penyusunan semula rangkaian bas, pengguna digalakkan untuk melawat www.spad.gov.my/BNR atau menghubungi 1-800-88-7723.










Comments

  1. SPAD niatmu memang sungguh suci tetapi adakah kajian yang terperinci telah dilakukan terutamanya terhadap operator bas-bas henti-henti yang lain sebelum ini dikuatkuasakan? Adakah perkhidmatan mereka setaraf dengan zaman gadjet yang cukup canggih atau masih di takuk yang lama? Adakah apa yang ditawarkan mereka berbaloi dengan wang yang kami perlu bayar? Khabarnya penstrukturan ini adalah untuk menambah baik perkhidmatan bas henti-henti di KL tanpa mengakibatkan kenaikan harga tambang bas sedia ada. Saya pengguna bas di Koridor Jalan Klang Lama (Puchong) amat-amat kecewa dengan perlaksanaan ini. Perkhidmatan secara monopoli ini telah memberi ruang buat syarikat Operator bas menaikan harga tambang dengan agak melampau! Apakah Kadar siling tambang bagi setiap Koridor yang terlibat itu berbeza? Contoh: Dahulu Bas Metro 20 Batu14-Kota Raya dan tambangnya adalah RM3.50. Rapid U69 dari Putra Perdana-Hab Pasar Seni adalah RM3 jika dibayar secara tunai. Kini bermula 1 Dec 2015 laluan U69 tersebut telah diambil alih oleh Metro dengan no 601. Tambang yang dikenakan pula telah dinaikan menjadi RM4.50! Jika naik dari Putra Perdana-KL central caj yang dikenakan adalah RM4.10. Dahulu pengguna hanya perlu membayar RM2.50 untuk ke KL central. Atas dasar apakah caj yang berlebihan ini dikenakan? Harap pihak SPAD perlu turun padang dan lakukan sesuatu atas perlaksanaan tambang yang cukup tak masuk akal dan amat membebankan pengguna. Kami sudah amat tertekan dan terhimpit dengan kenaikan tambang LRT kini bas pun sama. Aduhai...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap