SPAD akan terus berusaha tingkat taraf perkhidmatan teksi

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh pemandu teksi di Malaysia dan memahami isu-isu yang membelenggu industri teksi negara.
Pelbagai usaha telah dijalankan bagi mengatasi masalah-masalah tersebut di dalam usaha penambahbaikan industri teksi di Malaysia seperti program Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma) pada 2012 dan program Teksi 1 Malaysia (TEKS1M) pada 2013.
Proses rundingan dan perjumpaan bersama-sama persatuan dan juga pengendali teksi serta pihak-pihak berkepentingan adalah sesuatu yang dilaksanakan sepanjang tahun oleh Suruhanjaya.
Kesemua ini dilakukan menerusi beberapa siri mesyuarat, dialog dan sesi perbincangan bagi mendengar pandangan pemandu teksi dan membincangkan isu-isu yang membebankan mereka. Siri-siri pertemuan ini amat penting bagi Suruhanjaya ini memastikan kesemua pandangan pihak berkepentingan diambil kira.
Usaha ini telah dipertingkatkan lagi pada bulan Oktober dan November 2015, dimana SPAD telah menganjurkan lima sesi pertemuan yang melibatkan lebih daripada 250 pihak berkepentingan di dalam industri teksi; ini termasuk gabungan, persatuan teksi dan pemandu-pemandu.
Segala maklum balas yang diterima pada sesi-sesi tersebut akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh Suruhanjaya supaya dapat dirangka penyelesaian jangka masa panjang bagi memenuhi keperluan dan kemahuan semua pihak terlibat, termasuk pemandu teksi dan penumpang.
Susulan itu, SPAD sedang meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan dan sedang berusaha untuk menyelaraskan perkhidmatan teksi dengan melakukan perubahan-perubahan yang akan memanfaatkan semua pihak termasuk pemandu, pengendali dan penumpang.
SPAD dengan ini ingin memberi jaminan kepada industri teksi bahawa kami akan mencari jalan penyelesaian dalam jangka masa yang terdekat bagi mengatasi isu-isu yang diketengahkan dan akan terus bertekad di dalam usaha menaik taraf industri pengangkutan awam darat di Malaysia.
Pada masa yang sama, SPAD juga sedang berusaha keras di dalam meningkatkan taraf perkhidmatan teksi dan mencadangkan perubahan-perubahan yang amat penting, termasuk mengusulkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Ini akan melibatkan semakan terhadap aspek-aspek kawalselia secara menyeluruh dan mengenal pasti model perniagaan terbaik bagi industri teksi. Suruhanjaya ini juga akan memberi tumpuan khas kepada usaha-usaha untuk menambahbaik perkhidmatan kepada pengguna dan meningkatkan daya saing dan kebajikan pemandu.
Di dalam mencapai objektif tersebut, Suruhanjaya akan mengkaji peraturan-peraturan yang mengutamakan pengguna, menyokong teknologi dan inovasi mesra pengguna serta akan sentiasa terbuka kepada perkembangan terkini.
Suruhanjaya ini yakin semua usaha-usaha ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi di negara ini. Ia juga akan memberi faedah kepada pemandu dan semua pihak yang berkepentingan dan seterusnya membawa manfaat kepada rakyat.-9/11/2015

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap