Jangan sabotaj Sidang Kemuncak ASEAN...

Pemandu-pemandu teksi di seluruh Lembah Kelang diminta supaya tidak berdemo pada Rabu ini kerana ia perbuatan sia-sia dan tidak patriotik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, berkata pada tarikh itu Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN jika demo itu berterusan, ia juga akan memburukkan imej negara.

"Banyak yang kerajaan sudah buat untuk membantu pengusaha dan pemandu teksi. Janganlah gunakan masa seperti ini untuk buat demo kerana ia tidak akan membantu.

"Sepatutnya kita berbincang bersama seperti yang dilakukan oleh beberapa persatuan pada Sabtu lalu di mana mereka telah berjumpa pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan berbincang mencari penyelesaian.

"Janganlah gunakan masa ini untuk dijadikan satu peluang memburukkan kerajaan padahal banyak yang telah mereka perolehi daripada kerajaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di parlimen, pada Isnin.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas SPAD itu berkata dia kesal dengan sikap sesetengah pemandu yang membiarkan diri mereka dipergunakan oleh pembangkang untuk menghentam kerajaan.

Malah Nancy mengakui dia sendiri pernah merasakan pengalaman menaiki teksi yang mana pemandunya asyik mempersalahkan kerajaan dalam banyak hal.


"Jadilah seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab di mana kita sepatutnya memberi cerita yg baik sebagai duta negara.

"Orang yang menaiki teksi biasanya mahu mendengar cerita yang baik. Apabila kita bercerita perkara yang tidak baik, ia memberi tekanan jiwa kepada penumpang.

"Kalau ada masalah dengan Kerajaan atau agensi terlibat, bincanglah bersama. Itupun saya percaya sudah dan sedang dilakukan oleh SPAD.

"Kita tahu ramai pemandu teksi mempunyai sikap yang baik tetapi ada segelintir yang dipergunakan untuk memburukkan imej negara kita sehingga yang lain pun terjejas imejnya.

"Majoriti pemandu teksi tidak mahu nama mereka terjejas. Kalau kita burukkan nama negara bermakna kita burukkan nama sendiri. Ingat kalau kita burukkan negara sendiri, orang lain pun boleh ketawakan kita sebagai orang yang tidak cintakan negara sendiri," katanya.

Menurut Nancy masalah pemandu teksi adalah masalah sejagat yang melanda banyak negara. Tetapi beliau percaya SPAD sentiasa sudi mendengar dan bekerjasama dengan pemandu teksi. 

Sementara itu rancangan penganjur demo berkenaan mengadakan demo di Dataran Merdeka dan Padang Merbok telah ditolak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Difahamkan mereka masih mahu meneruskan demo dan sedang berusaha mencari lokasi lain. 16/11/15.



Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap