Berbincang lebih baik dari berdemo – Tan Sri Syed Hamid

Rancangan segelintir pengusaha teksi  untuk mengadakan demo pada Rabu ini nampaknya tidak mendapat sambutan daripada rakan-rakan dalam industri itu sendiri. Selain gagal mendapatkan permit daripada pihak berwajib, usaha mereka juga tidak mendapat restu daripada beberapa persatuan teksi yang beranggapan tindakan itu tidak membawa faedah.
  
Bukti ini semakin terserlah pada Sabtu apabila lebih daripada 1,000 pengusaha dan pemandu teksi dari
seluruh Lembah Kelang hadir pada Majlis Perjumpaan Ramah Mesra bersama  Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).  Golongan ini membuktikan perbincangan secara damai adalah jalan terbaik untuk mencari penyelesaian kepada masalah berkaitan industri berkenaan.
  
Untuk menambah garam kepada luka pengangjur demo itu, pengusaha dan pemandu teksi yang hadir pada majlis berkenaan siap mengumumkan empat resolusi, iaitu berikrar untuk berganding bahu dengan SPAD dalam memajukan industri teksi negara, mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa, bekerja dengan penuh rasa tanggungjawab bagi memberikan perkhidmatan terbaik dan berazam meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi.
  
Antara orang kuat industri yang hadir ialah Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin danKereta Sewa Malaysia (PETEKMA), Mohd Syahrir  Abdul Aziz, M Manikam dari Persatuan
Kebajikan Pemandu Teksi Selangor dan Wilayah, Mohd Isa dari
Persatuan Pemandu Teksi Port Klang dan Gorbachan Singh dari Persatuan Teksi Kepong.

Jelas pada majlis itu, Syed Hamid mengingatkan pemandu-pemandu teksi bahawa rancangan mengadakan demo pada hari Sidang Kemuncak Negara ASEAN berlangsung adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan nama baik Malaysia sebagai tuan-rumah.
  
“Pemimpin-pemimpin dari seluruh negara ASEAN dan rakan kongsi kita serta kuasa-kuasa besar akan berkumpul di Kuala Lumpur. Biarlah kita tunjukkan yang kita adalah orang yang matang berdemokrasi, matang menggunakan kebebasan.
  
“Biar kita tunjukkan yang kita ini adalah orang yang matang berdemokrasi. Matang menggunakan
kebebasan. Ini semua hak kita. Saya tak nak nafikan hak orang bersuara, yang tak bersetuju
dengan kita. Itu bukan cara kita. Kita tak nak semua orang setuju dengan apa kita cakap. Walaupun kita semuanya berbeza, kita duduk bersama-sama.
Syed Hamid mengakui SPAD tidak seluruhnya sempurna dan mengetahui segala-galanya. Sehubungan itu ia sering mengadakan interaksi, perjumpaan dan pelbagai pendekatan bagi membolehkannya mencari keputusan yang lebih tepat bagi menjamin masa depan pengusaha dan pemandu teksi.
  
“Kalau pemandu-pemandu dan pengusaha-pengusaha berjaya,  sumbangan kepada ekonomi membrangsangkan, ia dapat beri perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, kita juga beruntung dan mendapat manfaat. Oleh itu, kita ada matlamat dan visi bersama.

“Maka jalan-jalan yang kita ambil berliku-liku, bersimpang siur, berbeza-beza,  tetapi itu semua tidak menjadi masalah selagi kita dapat duduk, bincang bersama kerana suara yang terkuat sekali adalah suara perbincangan di antara kerjasama,” katanya.
  
Syed Hamid berkata dia kesal  apabila ada pihak yang mempertikaikan tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan kepada SPAD. Malah ada juga yang sehingga kini tidak mengerti penubuhan SPAD.
  
Katanya SPAD ditubuhkan sebagai badan yang merancang bagi pihak kerajaan untuk mengemukakan cadangan perubahan  kepada industri pengangkutan awam darat. Katanya SPAD tidak memegang akta pemutus, sebaliknya menjadi penyampai dan pemudah cara apa kepada apa yang diinginkan oleh pemain industri berkenaan, termasuk teksi.
  
“Apa juga yang tuan-tuan bawa, berdosa saya ... salah …  kalau saya tak sampaikan kepada pihak
kerajaan yang membuat keputusan. Tetapi keputusan  tidak semestinya semua yang kita
cadangkan dapat diputuskan memihak kepada kita. Tidak kesemuanya dengan apa yang kita
kehendaki. Ada masanya diterima.

“Macam bila minta naik tambang, bagaimana seksa dan susahnya, ada kumpulan yang
menentang tapi kita dapat. Kemudian kita minta pula naikkan kilometer tu... kita dapat juga. Kita cuba
memperkenalkan TEKS1M sebagai  jenama ... kita dapat juga. Tetapi ada macam-macam  kekangan yang
di luar bidang dan kuasa SPAD.
  
“Misalnya kita sentiasa bawa kepada kerajaan bahawa kita mesti melihat untuk perkenalkan SOCSO dan kita menyokong. Tetapi bila disemak, pemandu-pemandu dianggap bekerja sendiri dan tidak tertakluk kepada SOCSO. Jadi  jangan salahkan SPAD. Bila lembu punya susu, sapi dapat nama tapi nama pun tak ada, kutukan pula yang dapat.

“Bila kita kuat dan suara kita akan didengar oleh pihak kerajaan. Bila mantap persatuannya, mantap
kedudukan dan sama-samalah  kita bersuara. Tetapi kalau SPAD dikutuk dan dilanyak, maka SPAD akan
jadi lumpuh, maka siapa nak dengar suara kita? Jadi kita perlu bekerja sebagai satu pasukan. Muafakat itu berkat.  Semua kepercayaan ugama menggalakan kita mencari jalan sepakat dan
kesepaduan dalam kita mahukan sesuatu. Nak buat senang, nak tukar susah,” ujarnya lagi.
  
Menyentuh soal UBER dan GrabCar, Syed Hamid berkata, Ketua Pengawai Eksekutif SPAD, Azharuddin Mat Shah sendiri akan turun padang untuk bertemu dengan pengusaha-pengusaha teksi untuk berbincang dan bertukar pendapat.  
  
Katanya SPAD juga akan menganjurkan bengkel  dengan pengusaha dan pemandu untuk mendengar pandangan mereka mengenai UBER dan GrabCar. SPAD juga akan bekerjasama dengan perunding dan universiti untuk membuat kajian mengapa terdapat lambakan teksi di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Mengenai GST, Syed Hamid berkata SPAD sudahpun membawa perkara itu kepada kerajaan yang akan memutuskan.

“Ini tidak bermakna ia satu pengakhiran perjuangan kita. We must work together and we will continue. Jadikan SPAD sebagai satu agensi yang mewakili hati, suara dan nurani pemandu dan pengusaha teksi, supaya mudah untuk kita melaksanakannya,” tambahnya. – 15/11/15.






Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap