Didesak letak jawatan ... Ini komen Syed Hamid

Sejak pegang jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tiga tahun lalu, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar sudah melalui macam-macam dugaan dan cabaran.

Terkini semasa Perhimpunan Haram segelintir pemandu-pemandu teksi di depan parlimen pada Rabu, ada sepanduk yang tertera ayat menyuruhnya letak jawatan.

Ketika perhimpunan haram itu berlangsung, Syed Hamid sedang mempengerusikan simposium pengangkutan awam darat di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur yang tidak jauh dari Parlimen.

Bila wartawan memintanya mengulas, pengerusi SPAD itu nampak cool saja dan sempat berseloroh.

"Ini adalah satu keindahan negara Malaysia di mana ramai orang suka melanggar undang-undang. Walaupun tidak ada izin, dia buat juga.

"Pihak yang berwajib akan mengambil tindakan mengikut kuasa masing-masing.

"Saya tengok gambar dari plakad, kumpulan itu sikit sahaja, tetapi bunyi besar. Tetapi kumpulan yang ramai yang menyokong kita orang tak nampak.

"Mereka buat perhimpunan kecil dengan harapan dapat menukar orang. Apakah cara ini akan menukar dan memenuhi kehendak mereka?

"Ini adalah satu perkara yang kita pandang secara positif. No problem. Itu tak patut mencemaskan kita," jawabnya tenang.

Menurut Syed Hamid dia juga tidak terkejut kerana ada antara peserta perhimpunan haram itu turut hadir dalam majlis perjumpaan dengan SPAD Sabtu lalu.

"Mereka kata tak ada motif politik tetapi ada juga peserta demo itu datang angkat ikrar dengan kita (SPAD)," katanya.

Sindiran Syed Hamid itu memang ada kebenarannya kerana beberapa ahli parlimen pembangkang termasuk Wan Azizah turut tumpang semangkuk menonjolkan diri sebagai "hero" pemandu teksi ketika perhimpunan itu.

Syed Hamid relaks sahaja apabila diminta mengulas desakan kumpulan pemandu teksi yang berdemo itu supaya dia meletak jawatan sebagai Pengerusi SPAD.

"Oh. Very interesting. Kalau saya fikir semua orang ikut desakan golongan yang kecil ini untuk kita letak jawatan, semua orang di Malaysia kena letak jawatan, termasuk orang yang minta kita letak jawatan.

"Jadi yang terbaiknya, toksah suruh siapa-siapa letak jawatan. Suruh diri sendiri letak jawatan.

"Macam saya ... saya fikir...saya nak letak jawatan? Bila dia lantik saya? Jawatan saya adalah lantikan Perdana Menteri.

"Sekarang kita tengok dah jadi fesyen baru. Bila nampak orang yang dipilih oleh rakyat, orang yang tak dipilih oleh rakyat suruh orang yang dipilih rakyat itu untuk letak jawatan.

"Jadi orang yang ada mandat, disuruh letak jawatan oleh orang yang tak ada mandat. Tapi sama ada pendapat dia rasional atau tak rasional, kita terima semua dengan sikap yang terbuka. Saya tak rasa takut walau macam-macam orang buat," katanya.

Diminta mengulas hasrat pendemo untuk terus berhimpun sehingga malam, Syed Hamid berkata dia pelik kerana ramai orang menyalahkan SPAD terhadap isu-isu yang tidak mempunyai kaitan dengan suruhanjaya itu.

"SPAD punya kuasa berlainan. Jadi isu sampingan sudah jadi isu utama. Dia nak buat dia kena fikir - kita nak menyusahkan SPAD, Polis, DBKL atau nak menyusahkan rakyat?

"Kalau dia letak kereta di situ sedangkan dia boleh mengambil penumpang, bukankah dia rugi?"

Menurut Syed Hamid, sejak Isnin SPAD telah mengadakan makmal dengan semua pihak berkepentingan dalam industri dan mendapatkan pandangan mereka mengenai masalah teksi dan pengangkutan awam darat yang lain.

"Itulah cara terbaik. Bukan di jalanan. Saya rasa mereka marah dengan UBER dan GrabCar. Sebab itu mereka keluarkan macam-macam pandangan.

"SPAD sentiasa membuka pintu untuk berbincang mengenai apa sahaja perkara berkaitan meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam darat," katanya.

Syed Hamid tidak menafikan terdapat pemandu teksi yang menyewakan permit yang mereka perolehi dari SPAD sebagai jalan mudah mencari rezeki.

"Saya rasa kita tidak patut melihat kerjaya sebagai pemandu teksi sebagai pilihan terakhir. Pemandu teksi mesti menyintai profesi mereka," katanya. - 18/11/15.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap