Persatuan minta naik tambang bas sekolah 30 peratus...

Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) akan mengenakan kadar baru tambang bas sekolah pada sesi persekolahan tahun depan dengan kenaikan sebanyak 30 peratus.
Presiden GPBSM Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, kenaikan itu sudah dipersetujui semua 18,000 pengusaha bas sekolah yang bernaung di bawah gabungan itu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, cadangan kenaikan kadar tambang bas sekolah itu terpaksa dilakukan mulai sesi persekolahan tahun depan selepas ia ditangguhkan tahun ini.
“Pada dasarnya kita bercadang untuk menaikkan kadar tambang bas sekolah 30 peratus selepas Tahun Baru Cina lalu, tetapi tidak mendapat persetujuan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Bagaimanapun, agensi itu sudah memberi kebenaran kepada gabungan menetapkan kadar baru bagi sesi persekolahan tahun depan, namun perlu berunding dengan ibu bapa bagi mendapatkan persetujuan bersama.
“Kami akan memaklumkan ibu bapa mengenai kadar baru itu dan berharap selepas ini tidak lagi timbul isu mengenai kadar baru,” katanya.
Menurut Mohd Rofik, kenaikan kadar tambang itu tidak boleh dielakkan bertujuan menampung peningkatan kos operasi dan kenaikan harga alat ganti kenderaan ekoran pelarasan subsidi yang menyaksikan harga bahan api meningkat 20 sen, awal bulan ini.
Beliau berkata, kenaikan yang dicadangkan tidak akan membebankan ibu bapa kerana ia hanya membabitkan pertambahan kira-kira RM9 sebulan bagi seorang pelajar.
“Bagaimanapun, bagi ibu bapa yang mempunyai lebih tiga anak, pengusaha bas akan berbincang dan sedia bertolak-ansur dengan ibu bapa bagi pengurangan tambang.
“GPBSM menyedari beban yang perlu ditanggung ibu bapa, namun ia tidak boleh dielakkan berikutan pengurangan subsidi bahan api dan kenaikan harga alat ganti kenderaan kerana kos operasi bulanan pengusaha bas sekolah di seluruh negara kini meningkat mendadak antara RM700 hingga RM800,” katanya.
Menurutnya, GPBSM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan ahli gabungannya mengenai pelaksanaan kadar tambang bas sekolah yang baru, Disember ini.-21/10/2014

Comments

Popular posts from this blog

Lapan maut - SPAD gantung permit pengendali