Ramai graduan sertai penguatkuasaan SPAD

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menerima 15,000 permohonan untuk jawatan pegawai penguatkuasa menerusi iklan di laman webnya baru-baru ini, dan daripada jumlah itu 750 disenarai pendek tetapi hanya 94 yang berjaya terpilih.

Daripada 98 orang itu yang terpilih menjalani kursus asas dan induksi selama lima minggu, 46 daripada mereka adalah graduan daripada pelbagai bidang, antaranya forensik, kimia, kejuruteraan, statistik dan macam-macam lagi.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid berkata, berikutan jumlah permohonan yang ramai dan dalam menghadapi masa depan yang penuh mencabar, SPAD menitikberatkan kualiti daripada kuantiti dalam pengambilan tenaga kerja.

“Buat masa sekarang SPAD cuma ada 402 orang penguatkuasa. Kita tidak mampu mempunyai jumlah yang ramai seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Berdasarkan kekangan ini, kita harus bijak memilih. Syarat pemilihan kini lebih ketat. Memandangkan semakin ramai orang mahu menyertai SPAD, kita boleh memilih yang terbaik,” katanya.

Syed Hamid berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis perbarisan tamat latihan pegawai penguatkuasa SPAD di Pusat Latihan Kor Polis Tentera (PULAPOT) di Kuala Lumpur, Jumaat.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Kamal, Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Major Jeneral (B) Dati Paduka Che Hasni Che Ahmad, Pengarah Kor Polis Tentera Diraja, Kolonel Kamaruddin Mustapha, Komandan PULAPOT dan Leftenan Kolonel Noor Hishamuddian Rahim.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Hamid berkata, unit penguatkuasaan SPAD telah menjalankan tugas dengan cemerlang di mana dari hari mula beroperasi pada 31 Januari 2011 sehingga 31 Ogos 2013, ia telah melakukan sebanyak 311,169 pemeriksaan ke atas kenderaan perdagangan, kenderaan pengagnkutan awam dan kenderaan pelancongan.

Katanya dari jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 10,027 kes telah dikenalpasti dan kini tindakan perundangan telah dan sedang diambil ke atas pengendali dan pemandu pengangkutan awam berkenaan.

Syed Hamid berkata, pada tahun ini sahaja, sebanyak 4,526 operasi telah dijalankan dan SPAD akan mempertingkatkan kerjasama dengan PDRM, JPJ, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa agensi lain bagi membanteras kegiatan pegendali kenderaan pengangkutan awam darat daripada melakukan pelbagai kesalahan.

Pada majlis berkenaan, Syed Hamid turut menyampaikan anugerah kepada pelatih-pelatih terbaik. Antara penerima anugerah ialah PP Mohamad Faiz Ahdon (Pelatih Ketabahan Terbaik), PP Mohd Hizam Hussein (Pelatih Tempur Tanpa Senjata Terbaik), PP Nurul Amirah Zahari (Pelatih Akademik Terbaik), PP Khairil Khir bin Jamil Khir (Penuntut Kawad Terbaik), PP Mohd Firdaus Ghosni (Pelatih Keseluruhan Terbaik) dan Platun 3 (Platun Terbaik). – 20/9/13.









 














Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap