Harga minyak : Amaran SPAD kepada teksi dan bas.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam
Darat (SPAD) memberi amaran kepada pengusaha teksi dan bas supaya tidak
menaikkan harga tambang serta-merta berikutan kenaikan harga petrol dan
diesel yang diumumkan oleh Perdana Menteri kelmarin.
Pengerusi
SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, sekiranya golongan itu berbuat
demikian, bermakna mereka telah melanggar undang-undang dan boleh
dikenakan tindakan.
“Saya
nak nasihatkan kepada mereka supaya tunggu dulu dan bersabar kerana
kita perlu melihat kesan kenaikan itu terhadap pengangkutan awam darat
dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui di
Majlis Rumah Terbuka SPAD di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Syed
Hamid berkata SPAD memahami, kenaikan harga petrol dan diesel sudah
pasti akan memberi kesan kepada pengusaha teksi dan bas.
Menurutnya
dia sudah menerima surat daripada Presiden Persatuan
Pengusaha-Pengusaha Bas yang menyatakan mereka tidak dapat
mempertahankan harga tambang sekarang berikutan kenaikan harga petrol
dan diesel. Persatuan berkenaan juga meminta SPAD menilai semula kuota
diesel yang diberikan kepada pengusaha-pengusaha bas.
Syed
Hamid berkata berikutan kenaikan harga petrol dan diesel itu juga, SPAD
akan mempercepatkan penilaian permohonan kenaikan tambang yang
dikemukakan oleh persatuan-persatuan teksi sebelum ini.
“Dulu
kita kata akan mengumumkan kajian semula tambang teksi sebelum hujung
tahun. Tetapi dengan kenaikan harga petrol dan diesel ini, kita
mempunyai alasan kukuh untuk menimbangkan rasional menaikkan tambang
teksi sebeberapa segera.
“Kenaikan
ini memang sudah pasti akan memberi impak kepada industri pengangkutan
awam darat. Ini kita tak boleh elakkan. Tetapi pemandu teksi dan bas
kena bersabar dan jangan tergesa-gesa menaikkan tambang,” katanya.
Syed Hamid berkata, SPAD juga sedang mengkaji semula harga tambang pengangkutan rel yang membabitkan KTM Berhad dan Prasarana.
“Mengenai
bas pula, dulu kami berpendapat cadangan mereka untuk menaikkan tambang
sebelum ini didapati terlalu tinggi. Tetapi kini dengan kenaikan harga
petrol dan diesel, permintaan itu boleh dianggap munasabah,” katanya. – 3/9/13.
Comments
Post a Comment