PELAKSANAAN KOD AMALAN INDUSTRI S.P.A.D. – KESELAMATAN UNTUK PENGENDALI BAS BAGI OPERASI DI KAWASAN TANAH TINGGI
PELAKSANAAN KOD AMALAN INDUSTRI S.P.A.D. – KESELAMATAN UNTUK
PENGENDALI BAS BAGI OPERASI DI KAWASAN TANAH TINGGI
KUALA LUMPUR: 27 September 2013 - Suruhanjaya Pengangkutan
Awam Darat (SPAD) sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas syarikat bas yang
terlibat dengan kes kemalangan Bas Henti-henti di KM 3.5 Jalan Genting
Highland. SPAD akan meneliti secara terperinci segala aspek keselamatan dan
pengurusan penyelenggaraan syarikat tersebut.
Memandangkan kepentingan aspek keselamatan bagi pengendali
bas di kawasan tanah tinggi, SPAD telah mengeluarkan Pekeliling mengenai
pelaksanaan kod amalan industri bagi keselamatan pengendali bas yang beroperasi
di kawasan tanah tinggi. Pekeliling ini amat penting sebagai makluman dan
rujukan semua pengendali bas di kawasan tanah tinggi berhubung dengan
pelaksanaan Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD - Keselamatan. Antara keperluan yang
terkandung di dalam pekeliling yang telah diwajibkan bagi kenderaan adalah
seperti Pemasangan Global Positioning Satelite System (GPS), Anti-lock Braking
System (ABS), CCTV kamera di ruang ‘dashboard’ atau ruang yang bersesuaian,
sistem keselamatan brek seperti Engine Retarder/exhaust brake dan pematuhan
peraturan keselamatan antarabangsa mengenai keselamatan super structure
kenderaan (U.N.E.C.E Rule 66/A.D.R.) serta tali pinggang keledar untuk semua
kerusi penumpang (U.N.E.C.E Rule 80).
Untuk makluman, dibawah SPAD ICOP-SHE yang telah
berkuatkuasa pada 9 September 2013, pegawai keselamatan dan penyelia syarikat
telah diwajibkan memantau pemandu dan kenderaan sebelum perjalanan dimulakan.
Langkah kawalan tambahan yang dikuatkuasakan oleh SPAD adalah bertujuan untuk
menangani kelemahan-kelemahan dari aspek keselamatan operasi di kalangan
pengendali bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tanah tinggi.
Dalam masa yang sama, SPAD telah menubuhkan Jawatankuasa
Inkuiri Kes Kemalangan Bas – Genting yang berlaku pada 21 Ogos 2013.
Jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh En Mohd Nur Ismal Kamal, Ketua Pegawai
Eksekutif SPAD dan dianggotai oleh pihak PDRM, JPJ, MIROS dan lain-lain agensi
yang berkaitan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, pihak tuan boleh
menghubungi En. R. Suresh Kumar, Ketua Komunikasi (019-3295214), Puan Nurul
Asyikin, Pengurus, Bahagian Komunikasi (012-6227832) atau Puan Zureina Maidin
(012-3305080)
Comments
Post a Comment