Projek KVDT sudah 28 peratus dan siap 2019

Projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) sudah mencapai 28 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2019.
 
Projek yang membabitkan kos RM1.4 billion itu telah bermula sejak pertengahan tahun lalu membabitkan landasan sejauh 42 kilometer di antara jajaran Rawang-Salak Selatan dan Sentul-Simpang Batu.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata, projek itu membabitkan kerja-kerja naiktaraf 16 stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), sistem isyarat, elektrik dan pemasangan sistem radio metra.
 
Azharuddin berkata demikian pada sidang media di tapak projek di Rawang, Selangor, Jumaat.
 
Menurut Azharuddin lagi, walaupun ada kalanya berlaku kelewatan kerana beberapa faktor, dia yakin projek berkenaan akan siap mengikut jadual.
 
"Memang ada tergendala seketika kerana faktor cuaca dan teknikal tetapi saya yakin kontraktor yang bertanggungjawab, Dayamaju Infrastructure Asia Sdn Bhd (DMIA) boleh menyiapkannya mengikut jadual," katanya.
 
Ditanya sama ada perkhidmatan MRT dan penambahan laluan LRT akan menjejaskan jumlah penumpang komuter, Azharuddin berkata sebaliknya akan berlaku.
 
"Pada ketika ini kira-kira 100 ribu penumpang menggunakan perkhidmatan tren setiap hari. Kita sasarkan jumlah itu akan meningkat lima peratus setiap tahun. Ia akan bertambah lagi sebaik projek ini siap.
 
"Apabila siap, kita akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan dan penumpang akan merasa lebih selesa. Walaupun projek berjalan, perkhidmatan pada waktu puncak tidak terjejas, iaitu setiap 15 minit.
 
"Tetapi perkhidmatan ketika bukan waktu puncak akan terjejas sedikit dengan projek ini. Saya harap penumpang akan bersabar. Menjelang 2019 perkhidmatan akan jadi jauh lebih baik," katanya. - 24/2/17

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap