Pengusaha teksi motosikal jangan cabar kerajaan... - Liow

Pihak syarikat yang menjalankan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride diingatkan untuk tidak mencabar kerajaan dengan mendakwa tiada peruntukkan undang-undang yang menghalang untuk menawarkan khidmat tersebut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihak kerajaan mempunyai undang-undang khas terhadap pihak yang menjalankan Dego Ride.
"Di bawah Akta Pengangkutan Seksyen 23 memperuntukkan lesen motorsikal tidak boleh membawa penumpang bagi tujuan komersial.
"Selain itu, di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Seksyen 16 dan 47 turut memperuntukkan perkara yang sama dan kenderaan yang ingin dikomersialkan perlu mendapatkan lesen dari pihak SPAD," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan 1MOT Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada Isnin.
Pada majlis yang sama Tiong Lai turut mengambil peluang meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama kakitangan kementerian tersebut.
Menurut Tiong Lai, pihak kementerian akan mengarahkan pegawainya untuk sentiasa peka dengan perkhidmatan Dego Ride ini dan akan mengenakan tindakan terhadap sesiapa yang menggunakan perkhidmatan ini.
"Kita akan menggunakan teknik penyamaran dan menangkap serta mengenakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan Dego Run.
"Perkhidmatan ini tidak boleh digunakan kerana tidak mendapatkan lesen yang sah. Kita tidak menghalang penggunaan motorsikal, tetapi kita tidak setuj dengan "mode of transportation" di atas faktor keselamatan," katanya.
Sebelum ini, Liow Tiong berkata, perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride diarah dihentikan serta-merta oleh kerajaan dan lesen operasi tidak akan diberikan kepada pengendali perkhidmatan tersebut.
“Kita ada kuasa untuk mengawal perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan yang terletak di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan SPAD. Kesalahan ini jelas kerana penunggang tidak boleh membawa orang awam dan mengutip bayaran. Jika ada unsur bayaran, ia adalah satu kesalahan di bawah JPJ,” katanya.
Sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menawarkan perkhidmatan itu.
“Kita faham ada orang awam yang menggunakannya kerana masalah kesesakan lalu lintas, namun ketika ini kita sedang meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT untuk kesenangan semua,” katanya.-13/2/2017

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap