SPAD tak boleh ramal kemalangan...

Seperti biasa setiap kali selepas berlaku kemalangan membabitkan bas ekspres, kebanyakan jari dituding khususnya ke arah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
 
Insiden terkini di mana SPAD turut dipersalahkan dalam kemalangan Sabtu lalu yang mengorbankan 14 nyawa dan 16 cedera apabila sebuah bas ekspres terjunam di sebuah gaung di kilometer 137.3 Lebuhraya Utara-Selatan, di Kampung Jayor, Muar, Johor.
 
"Walaupun SPAD sudah meletakkan pelbagai syarat dan peraturan, masih ramai yang tidak mengendahkannya dan apabila berlaku tragedi yang disebabkan faktor manusia, kita juga dipersalahkan. Kita tak boleh meramalkan kemalangan," kata pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.
 
Begitupun kata Syed Hamid, SPAD tetap menerima kritikan dan pandangan semua pihak.
 
"Kita pandang ke hadapan dan tak perlulah menyalahkan mana-mana agensi. Rakyat kita selalu cepat melenting apabila tragedi berlaku.
 
"Ada yang mengatakan syarat dan peraturan tidak mencukupi. Padahal ia mencukupi. Syarikat pengendali sepatutnya memastikan peraturan dipatuhi," katanya.
 
Syed Hamid berkata demikian pada sesi taklimat bersama media di ibupejabat SPAD di Kuala Lumpur, Rabu.
 
Syed Hamid berkata, biasanya peraturan-peraturan baharu diperkenal berdasarkan pengalaman selepas berlaku sesuatu insiden.
 
Beliau mengambil contoh kejadian kemalangan ngeri di Genting Highlands pada 2013 di mana SPAD telah melaksanakan semua cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa siasatan bebas tragedi berkenaan.
 
Katanya daripada 51 cadangan jawatankuasa itu hanya lapan di bawah bidang kuasa SPAD dan semuanya telah dilaksanakan.
 
"Orang ingat kita (SPAD) hanya bergerak apabila berlaku kemalangan. Maka berpuluh-puluh syor diberikan. Banyak syor kita sudah laksanakan selepas kejadian di Genting Highlands.
 
"Antaranya, peraturan yang mewajibkan setiap bas ekspres mempunyai sistem dua brek. Ia bermaksud jika brek utama gagal berfungsi, pemandu boleh menggunakan brek kedua.
 
"Selain itu, SPAD menetapkan peraturan yang melarang bas dua tingkat beroperasi di kawasan berbukit/bercuram dan kawasan tinggi. Kita juga tak benarkan penumpang berdiri. Semua peraturan baharu itu berkuatkuasa 9 September 2016.
 
"Selain itu SPAD juga mengadakan pelbagai latihan dan kursus untuk pemandu bas," katanya.
 
Syed Hamid menegaskan sebelum SPAD memberikan lesen pengendali kepada syarikat bas, kenderaan mereka diwajibkan diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
 
"Semua kenderaan setelah siap dipasang mesti mendapat kelulusan JPJ. Badan bas mesti kuat dan mampu menahan impak. Selain itu setiap bas mesti ada ada tali pinggang keledar. Kalau tak ada dua ciri ini, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tak akan luluskan.
 
"Bagi pihak SPAD apabila JPJ melalui PUSPAKOM sudah luluskan pemeriksaan kenderaan baharulah kami keluarkan lesen pengendali. Perlu diingat bahawa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) pula adalah di bawah bidang kuasa JPJ."
 
Selain itu katanya, sebagai langkah untuk menghilangkan kekeliruan orang ramai, SPAD akan menerbitkan risalah untuk disiarkan dalam akhbar serta di laman sesawangnya mengenai fungsi setiap agensi yang berhubungkait dengan pengangkutan awam darat.
 
"Kita perlu jelaskan sebab masyarakat sering mempersalahkan SPAD bila berlaku tragedi. Mungkin mereka tidak faham bidang kuasa dan peruntukan perundangan setiap agensi," katanya.- 28/12/2016 - OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap