SPAD memulakan siasatan terhadap dakwaan pemanduan bas ekspress secara berbahaya




SPAD MEMULAKAN SIASATAN TERHADAP DAKWAAN PEMANDUAN BAS EKSPRES SECARA BERBAHAYA

KUALA LUMPUR, 27 DISEMBER 2016 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)

telah memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang didapati daripada Facebook yang

dikongsikan oleh seorang pengadu mengenai perlakuan pemandu bas ekspres. Di dalam

video yang dirakamkan oleh pengadu, pemandu dipaparkan telah menghisap rokok dan

menggunakan telefon bimbit ketika sedang bertugas. SPAD sedang mengambil langkah

segera bagi memastikan kesahihan fakta bagi mengambil tindakan yang sewajarnya.

Setelah menghubungi pihak-pihak yang terlibat semalam, Pegawai Penguatkuasa SPAD

telah bertemu pengarah syarikat Aerosystem Tour & Travel (M) Sdn Bhd yang

mengendalikan bas Mayang Sari tersebut dan pemandu yang terlibat pada jam 9.30 pagi

hari ini bagi mengambil keterangan mereka dan mengesahkan maklumat seperti mana

yang diperlukan di bawah peruntukan undang-undang. SPAD juga telah bertemu pengadu

pada 4.30 petang hari ini bagi merakamkan keterangan rasmi. Rakaman video dan gambar

yang diterima akan digunakan sebagai bahan bukti di dalam siasatan.

Sekiranya siasatan mengesahkan bahawa individu terbabit telah membahayakan

penumpang dan pengguna jalan raya lain di bawah Seksyen 202, Akta Pengangkutan Awam

Darat 2010 (APAD), pemandu tersebut boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau

penjara tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali. Jika didapati bersalah kerena

merokok di dalam kenderaan pengangkutan awam darat, pemandu boleh disabitkan

kesalahan di bawah Seksyen 203 APAD, di mana hukuman yang boleh dikenakan adalah

denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya

sekali.

Sementara itu, pengendali boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 22 dan 23 APAD

atas kesalahan mengingkari syarat-syarat lesen mengenai keselamatan, yang membawa

hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau

penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.

SPAD juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti polis Diraja

Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang juga sedang menyiasat kes

ini di bawah bidangkuasa dan peruntukan undang-undang masing-masing.

Lesen Pengendali SPAD mewajibkan pengendali bas untuk mematuhi keperluan di dalam

Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP). Pengauditan berkala dijalankan bagi memastikan

pematuhanan terhadap ICOP. SPAD ingin menekankan kepada pengendali dan pemandu

yang didapati bersalah kerana melanggar syarat-syarat Lesen Pengendali, bahawa

Suruhanjaya akan mengambil tindakan yang paling maksima yang dibenarkan di bawah

undang-undang.

Orang ramai yang telah mengalami atau menyaksikan perlakuan pemanduan berbahaya

oleh pihak pengendali pengangkutan awam darat digesa membuat laporan melalui saluran

aduan SPAD seperti hotline kami di 1-800-88-7723, emel kepada aduan@spad.gov.my atau

melalui Twitter kepada @aduanSPAD. SPAD memerlukan nama dan nombor telefon

pengadu, tarikh, masa, tempat kejadian dan maklumat perjalanan (seperti gambar tiket

daripada syarikat bas). Sebarang gambar atau rakaman video yang telah diambil pengadu

dapat membantu SPAD di dalam menjalankan siasatan.

- Tamat –

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap