PM lancar penyambungan LRT jajaran Kelana Jaya dan Ampang Jaya...




Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nakib Tun Razak berkata, projek penyambungan dua jajaran LRT Kelana Jaya dan Ampang bernilai RM8 billion membuktikan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini telah menepati janjinya kepada rakyat Malaysia.
"Bila saya ambilalih tampuk kepimpinan negara pada 2009 kita telah mengadakan siri percambahan fikiran yang telah dikelolakan oleh PEMANDU pada ketika itu.
"Kita lihat bahawa salah satu daripada cabaran dan kelompongan yang berlaku dalam negara kita ialah masalah pengangkutan.
"Ini adalah kerana pemimpin sebelum saya yang memerintah selama 22 tahun tidak begitu memberi perhatian kepada pengangkutan awam," katanya.
Najib berkata, berikutan sikap pemimpin terdahulu itu, maka ia mengakibatkan kelompongan dan kurang pelaburan. Di samping itu katanya, berlaku sistem yang tidak bersepadu dan dimiliki oleh pelbagai pihak.
"Ini yang menjadikan sistem pengangkutan awam bagi Lembah Kelang tidak boleh menampung keperluan sebuah bandar moden. Lantas ia menjadikan kesesakan jalanraya semakin serius.
"Oleh itu di bawah NKRA kita telah menetapkan bahawa pengangkutan awam mesti diberi keutamaan yang paling tinggi.
"Hari ini kita semua menjadi saksi bahawa kerajaan yang ada pada hari ini telah menepati janjinya kepada rakyat Malaysia," katanya.
Najib berkata demikian ketika merasmikan pembukaan penuh projek Penyambungan Jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Putra Heights, pada Khamis.
Turut hadir ialah pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Ismail Adam dan pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.
Najib berkata, projek berkenaan bukan sahaja akan menjadi pencetus kepada transformasi pengangkutan awam udara tetapi akan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi negara khususnya bagi kawasan Lembah Kelang.
Katanya projek ini juga merupakan satu inisiatif untuk mengintegrasikan perkhidmatan pengangkutan awam deminkesejahteraan penduduk dan pengunjung Lembah Kelang.
Katanya kerajaan menyedari bahawa nadi pada pertumbuhan ekonomi mana-mana negara ialah bandar utamanya. Sehubungan itu ia memutus untuk meletakkannya sebagai projek keutamaan supaya menggalakkan orangramai menggunakan pengangkutan awam.
Najib berkata satu kajian yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia, kesesakan lalu lintas jalanraya boleh menyebabkan pengurangan pertumbuhan KDNK sebanyak dua peratus.
"Jadi kalau kita dapat pengangkutan awam yang efisien, kurang kesesakan lalu lintas, maka kadar pertumbuhan negara pun boleh jadi bertambah sebanyak dua peratus.
"Sebab itulah kita punya sasaran, kita ingin perkongsian modal pengangkutan awam digunakan orang ramai dinaikkan daripada 21 peratus pada masa ini kepada 40 peratus menjelang tahun 2030," katanya.
Perdana Menteri berkata projek berkenaan telah dilaksanakan dengan perancangan yang cukup teliti untuk memasuki kawasan-kawasan penempatan tinggi seperti Bandar Kinrara, Puchong, Subang Jaya, USJ dan Putra Heights yang kerajaan jangkakan akan membangun menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi yang rancak pada masa akan datang.
Menurutnya lagi, dalam merangka skim jajaran rel untuk projek penyambungan jajaran ini, syarat-syarat ketat dan pendekatan terperinci telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penumpang diambil berat di samping impak kepada alam sekitar.
Katanya kajian turut dibuat terhadap impak ekonominya dan telah dinilai melalui kadar pulangan dalam ekonomi (EIRR) boleh mencatat sehingga 25 peratus. Ini bermakna, menggunakan metodologi ini projek ini berjaya memberi kesan ekonomi yang berimpak tinggi.
Sambungan untuk kedua-dua laluan Kelana Jaya dan Ampang telah beroperasi sepenuhnya sejak 6 pagi Khamis.
Secara keseluruhannya tambahan jajaran ini akan memberi manfaat kepada jutaan penduduk di Lembah Kelang, khususnya dua juta warga kota yang menetap di daerah Petaling.
Tambahan jajaran sepanjang 35.1km itu menghubungkan kedua-dua laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling. Ia melibatkan pembukaan 12 stesen baharu untuk Laluan Kelana Jaya dan 11 stesen baharu untuk laluan Ampang/Sri Petaling.
Projek ini dijangka menyumbangkan tambahan 300 ribu penumpang sehari untuk perkhidmatan rel Rapid KL.
Jajaran tambahan Laluan Kelana Jaya sejauh 17.4km meliputi kawasan penempatan tinggi dan perniagaan sekitar seperti Subang, Glenmarie, Subang Jaya dan USJ dijangka menyaksikan tambahan 170 ribu penumpang sehari.
Sambungan jajaran untuk laluan Ampang sepanjang 17.7km melalui taman-taman perumahan dan komuniti bisnes di Bandar Kinrara, Puchong Prima, Puchong Perdana dan Pusat Bandar Puchong, akan meningkatkan jumlah penumpang sehari kepada 130 ribu.
Pada majlis itu Perdana Menteri turut menyaksikan upacara pertukaran dokumen Perjanjian Penyerahan dan Operasi MRT antara MRT Corp Sdn Bhd dan Rapid Rail Sdn Bhd, yang secara rasmi melantik syarikat Prasarana sebagai operator untuk MRT laluan Sungai Buloh-Kajang.
Najib turut menjari saksi kepada upacara penyerahan Surat Perlantikan kepada Big Tree Outdoor Sdn Bhd dan Red Berry Group untuk mewakili Prasarana dalam menjana pendapatan tambahan menerusi penjualan ruang iklan di aser-aset rel dan bas milik Prasarana.- 30/6/2016 OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap